18 klinik 1Malaysia di Perak masih beroperasi, dijenamakan semula

18 Klinik 1Malaysia di Perak tidak ditutup, sebaliknya dijenamakan semula kepada Klinik KKom dan masih beroperasi sehingga kini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Sivanesan - Foto: Bernama
18 Klinik 1Malaysia di Perak tidak ditutup, sebaliknya dijenamakan semula kepada Klinik KKom dan masih beroperasi sehingga kini. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Sivanesan - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Sebanyak 18 Klinik 1Malaysia di Perak tidak ditutup, sebaliknya dijenamakan semula kepada Klinik Komuniti (KKom) dan masih beroperasi sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan berkata, setakat ini klinik berkenaan menyediakan rawatan penyakit ringan kepada penduduk setempat termasuk demam, batuk, selsema dan penyakit ringan yang lain.

"Selain itu, prosedur rawatan ringan seperti mencuci luka dan membuka jahitan, rawatan susulan kes penyakit kronik yang stabil dan terkawal seperti diabetis, darah tinggi dan asma serta khidmat nasihat dan pendidikan kesihatan,” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Dr Hashim Bujang (PN-Bukit Chandan) yang ingin tahu mengenai status Klinik 1Malaysia sama ada sudah ditutup dan tidak berfungsi di Perak.

Sivanesan (PH-Sungkai) berkata, terdapat tiga KKom yang turut menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan ibu dan anak iaitu KKom Kampung Tawas di sini, KKom Taman Samudera di Manjung dan KKom Behrang di Tanjung Malim. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!