Nyawa diancam selepas tolak tawaran kerja di Thailand

Chun Kuang (kiri) bersama Ben ketika sidang akhbar di Pusat Komuniti DUN Semambu pada Khamis.
Chun Kuang (kiri) bersama Ben ketika sidang akhbar di Pusat Komuniti DUN Semambu pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Lelaki yang terselamat daripada menjadi mangsa sindiket pekerjaan palsu di Thailand mendedahkan dirinya menerima ugutan termasuk ancaman nyawa oleh scammer.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Ben, 35, dari Air Putih di sini berkata, ugutan berkenaan diterima selepas dirinya tidak menaiki pesawat ditempah oleh sindiket ke negara itu seperti dijadualkan.

Katanya, tindakan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada ahli keluarga yang meminta supaya tidak meneruskan hasrat.

"Sindiket menyuruh saya menaiki penerbangan pada 24 November lalu tapi saya tidak pergi kerana keluarga mengatakan bahaya dan ramai yang bekerja di luar negara tidak dapat pulang Malaysia.

"Sehari selepas itu, sindiket telah menyebarkan dokumen pengenalan saya di dalam Facebook.

"Sindiket juga ada mengugut saya melalui panggilan aplikasi WhatsApp dan mereka mengancam nyawa saya serta keluarga," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini pada Khamis.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang dan Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia Antarabangsa (MHO), Daniel Khoo.

Ben memaklumkan kejadian itu bermula apabila dirinya melihat satu iklan tawaran kerja di pautan Facebook dalam Kumpulan Mencari Kerja Warga Kuantan 20 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Dia mengakui berminat untuk bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Thailand dan menekan pautan terbabit bagi mengetahui secara jelas berhubung jawatan berkenaan.

"Saya kemudian ditawarkan gaji lumayan iaitu sekitar RM6,000 hingga RM7,000 sebulan, selain itu mereka menyediakan penginapan.

"Malah tiket penerbangan saya juga dibaiyai oleh sindiket terbabit," katanya yang terkesima dengan tawaran diberikan.

Bagaimanapun Ben bersyukur kerana tidak terjerat dengan tawaran tersebut meskipun pada awalnya naluri kuat untuk bekerja di negara Gajah Putih itu atas alasan desakan hidup.

Ben memujuk laporan polis yang dibuat selepas menerima ugutan pada November lalu.
Ben memujuk laporan polis yang dibuat selepas menerima ugutan pada November lalu.

Ujarnya, walaupun keputusan itu membuatkan dirinya diburu dan dimalukan di laman sosial tetapi sekurang-kurangnya dirinya masih berada di Malaysia.

Dia yang bimbang akan keselamatan diri susulan penyebaran butiran peribadinya telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, kira-kira jam 3 petang, 25 November lalu.

Katanya, tujuan laporan polis dibuat adalah bagi mengelak pihak tertentu menyalahgunakan butiran peribadi miliknya untuk tujuan yang boleh menimbulkan masalah terhadapnya.

"Saya bernasib baik sebab sepanjang berurusan dengan suspek, tiada sebarang transaksi wang berlaku.

"Saya fikir panjang lepas mereka tawarkan kerja tempoh hari, sebab itu saya ambil keputusan untuk tolak (tawaran) kerana saya rasa ini satu sindiket," katanya yang memadam akaun Facebook bagi mengelak dihubungi sindiket berkenaan.

Sementara itu, Chun Kuang meminta menasihati agar rakyat di negeri ini tidak terpengaruh oleh mana-mana tawaran pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lumayan.

Beliau sebaliknya mahu orang ramai menjadikan iktibar kisah pemerdagangan manusia yang mengancam nyawa seperti arwah Muhammad Izzat Abdul Wahab yang meninggal dunia pada 14 Oktober lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!