Lakukan perkara-perkara ini apabila bermimpi buruk
KADANGKALA kita mengalami mimpi buruk ketika tidur. Pelbagai gambaran yang kita boleh lihat dalam tidur.
Adakalanya ia kurang menyenangkan sehingga merasakan mimpi tadi terbawa-bawa walaupun kita sudah terjaga.
Dalam Islam, menurut pendakwah Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar, mimpi buruk dianggap sebagai pengalaman yang memiliki makna atau sebagai ujian daripada ALLAH SWT.
“Bahkan, Rasulullah SAW sering kali memberikan petunjuk kepada para sahabat tentang bagaimana menghadapinya.
“Ada beberapa sunnah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam menanganinya termasuklah berdoa dan melakukan amalan tertentu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi perkongsiannya di platform X miliknya.
Bagi mereka yang bermimpi buruk, Ustaz Wadi Annuar menyenaraikan lima sunnah Rasulullah SAW apabila mengalaminya.
Berikut amalan yang boleh kita praktikkan iaitu:
1. Meludah ke kiri sebanyak tiga kali. Andai seseorang mengalami mimpi buruk, sebaiknya meludah ke kiri sebanyak tiga kali. Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: “Apabila salah seorang kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah ia meludah ke kiri tiga kali, berlindunglah kepada ALLAH daripada gangguan syaitan tiga kali...” (Hadis Riwayat Muslim)
Imam al-Nawawi dalam Kitab al-Azkar juga menjelaskan: “Mimpi yang baik bersumber daripada ALLAH. Dan mimpi buruk datangnya dari syaitan. Maka barang siapa bermimpi yang dibenci (mimpi buruk), hendaknya ia meludah ke kiri sebanyak tiga kali dan mohon perlindungan kepada ALLAH daripada syaitan. Maka sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.” (Muttafaqun Alaih)
2. Memohon perlindungan ALLAH.
Mintalah perlindungan daripada ALLAH dengan membaca ta’awuz (a’uzubillahi minasy syaitanir rajim) sebanyak tiga kali sepertimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis lainnya: “Aku berlindung kepada ALLAH daripada godaan syaitan yang terkutuk.”
3. Tidak perlu menceritakan kepada orang lain.
Sebaiknya, mimpi buruk tidak perlu diceritakan kepada orang lain kerana ia boleh menyebabkan orang lain risau dan takut dengan mimpi itu.
Ingatlah sabda Nabi Muhammad, iaitu: “Sesiapa yang mempunyai mimpi yang tidak disukainya, hendaklah memohon perlindungan kepada ALLAH daripada kejahatannya dan daripada kejahatan syaitan, dan hendaklah meludah tiga kali dan jangan menceritakannya kepada sesiapa pun, mimpi itu tidak akan membahayakannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
4. Tukar posisi tidur.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disenanginya, maka hendaklah dia meludah ke kiri tiga kali, berlindunglah kepada ALLAH daripada gangguan syaitan tiga kali, dan mengubah tidurnya dari posisi semula.” (Hadis Riwayat Muslim)
5. Wuduk dan solat. Tidak dinafikan, perasaan bimbang dan takut pasti akan dialami oleh setiap orang yang mengalami mimpi mengerikan.
Bagi mengelak perkara itu, ambillah wuduk dan tunaikanlah solat yang boleh menenangkan hati. Rasulullah SAW bersabda: “Oleh itu, jika kamu mempunyai mimpi yang tidak kamu sukai, bangunlah, kemudian solat.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ustaz Wadi Annuar kemudian berkongsikan dua doa yang boleh diamalkan agar tidak terjadinya mimpi buruk.
Berikut perinciannya:
1. Berlindung daripada segala kepungan syaitan.
هُوَ اللهُ، اَللهُ رَبِّيْ لَا شَرِيْكَ لَهُ. أَعُوْذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَمِنْ شَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِيْنِ وَأَنْ يَحْضُرُوْنِ
Maksudnya: “Dialah ALLAH, ALLAH Tuhanku. Tiada sekutu bagi-NYA. Aku berlindung dengan kalimah ALLAH yang sempurna dari murka-NYA, kejahatan para hamba-NYA, dan godaan syaitan. Aku pun berlindung kepada-NYA daripada kepungan syaitan itu.”
2. Berlindung daripada perbuatan buruk.
أَللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَان وَسَيِّئاَتِ اْلأَحْلاَمِ
Maksudnya: “Ya ALLAH, aku berlindung kepada-MU daripada perbuatan syaitan dan buruknya mimpi.”
Ayuh sama-sama kita amalkan. Semoga dijauhkan daripada segala mimpi yang mengerikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!