Guna khidmat K9 siasat kebakaran kilang kitar semula
SUNGAI PETANI - Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi siasatan ke atas kebakaran kilang kitar semula di Bukit Selambau yang tercetus sejak 3 Disember lalu.
Pengarah JBPM Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang berkata, penyiasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang berlaku membabitkan tiga buah gudang di kawasan terbabit.
"Operasi memadam kebakaran telah tamat dan ini membolehkan Pusat Kawalan Bomba Bukit Selambau yang dibuka bagi mengendalikan kerja-kerja pemadaman telah ditutup sepenuhnya pada jam 12 tengah malam Rabu,"katanya.
Berikutan itu, operasi memadam kebakaran yang bermula Ahad dilaporkan telah mengambil masa beberapa hari, sehingga kira-kira 80 jam.
"Sebelum ini, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) juga telah sampai ke lokasi kejadian bagi membuat pengesanan gas namun didapati keadaan persekitaran terkawal," katanya.
Menurutnya, sejak Ahad lalu tindakan operasi pemadaman dilaksanakan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, BBP Guar Chempedak, BBP Sungai Petani, BBP Kepala Batas dan BBP Kulim Hi-Tech serta bomba sukarela.
Ia melibatkan lebih 30 anggota termasuk daripada pasukan Hazmat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kebakaran kilang memproses barangan kitar semula di Bukit Selambau telah mengejutkan penduduk setempat berikutan api marak selain letupan seakan-akan percikan bunga api jelas kelihatan di udara.
Berdasarkan siasatan yang dibuat Jabatan Alam Sekitar, kebakaran besar yang melibatkan tiga buah gudang itu dipercayai menjalankan kegiatan memproses dan menyimpan buangan terpakai seperti asid, bateri terpakai, sisa elektronik dan sekerap logam.
Bagaimanapun, sampel buangan elektrik dan elektronik tersebut telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia Negeri Kedah untuk dianalisis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!