Pasukan Simpanan Persekutuan terima kelengkapan anti rusuhan, sniper

Razarudin.
Razarudin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan perolehan RM21.8 juta untuk kelengkapan serta aset bagi kegunaan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, KDN telah meluluskan perolehan kelengkapan keselamatan 'anti riot' iaitu sebanyak 1,000 unit 'protective armour body' dan 1,000 unit topeng gas dengan kos RM10 juta.

"Perolehan 13 laras 'sniper rifle.22' berjumlah RM2.3 juta, 10 buah van tempur bernilai RM 3.6 juta," katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Markas PSP dan Sambutan Hari Ulang Tahun PSP Ke-68, di sini, pada Khamis.

Razarudin berkata, kerajaan turut meluluskan perolehan empat buah kenderaan 'loat Bonded Truck untuk kegunaan Unit Berkuda PSP melibatkan kos berjumlah RM2.2 juta.

"Perolehan penggantian 175 laras 'riot gun' dengan kos RM2.8 juta dan 10 ekor anjing rusuhan berjumlah RM900,000.

"Kita merakamkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan khususnya KDN yang telah meluluskan perolehan bagi PSP.

"Aset yang bakal diperoleh itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga PSP untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, PSP telah berjaya mengesan 41 kes penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun dan khazanah negara sejak Januari hingga Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Dalam tempoh sama, seramai 163 orang ditahan oleh PSP kerana disyaki terlibat dalam membabitkan rampasan berjumlah RM31.8 juta," katanya.

Razarudin berkata, beliau berharap agar momentum kecemerlangan itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga PSP atas kejayaan yang cukup membanggakan ini,"

Razarudin berkata, PSP merupakan salah satu sayap kanan Polis Diraja Malaysia yang

bernaung di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

"Seiring dengan peredaran masa, peranan dan fungsi PSP jauh lebih meluas dan mencabar serta tidak hanya tertumpu kepada hal yang melibatkan ketenteraman awam semata-mata," katanya.

Beliau berkata, peranan PSP telah diperluaskan termasuk tugas risikan untuk membantu membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Selain itu, PSP turut terlibat dalam kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan pendatang asing tanpa Izin.

"Begitu juga dengan Unit Berkuda PSP yang memberikan khidmat rondaan sepanjang sempadan negara termasuk di persisiran pantai," katanya.

Beliau berkata, PSP telah membuktikan kecekapan serta kewibawaan warganya demi menjaga keselamatan, ketenteraman dan keamanan masyarakat dan negara.

"Pelbagai kerjasama telah dilaksanakan untuk mencapai kejayaan secara bersepadu dengan agensi-agensi lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!