Warga emas rugi lebih RM200,000 ditipu 'pegawai Bank Negara'

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

NILAI - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM212,951.20 selepas ditipu pihak yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara berhubung penggunaan kad kredit.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima aduan daripada wanita tempatan berusia awal 60-an pada Khamis, jam 5.13 petang.

Menurutnya, pada 4 Disember lepas mangsa telah menerima satu pesanan ringkas daripada nombor telefon tidak dikenali yang menyatakan terdapat penggunaan kad kredit milik pengadu di aplikasi membeli-belah dalam talian.

"Pengadu kemudian diarahkan menghubungi talian yang diberikan kononnya untuk melaporkan perkara tersebut kepada Bank Negara Malaysia.

"Dalam perbualan dengan pihak yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara tersebut, pengadu telah diminta untuk menyerahkan semua maklumat perbankan termasuk nombor kad ATM dan nombor CCV milik pengadu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, pengadu juga diarahkan untuk memberikan nombor One Time Password (OTP) yang diterima dengan alasan untuk menyekat akaun tersebut daripada disalahgunakan.

"Pada hari yang sama, pengadu mendapati pengurangan wang dalam akaun-akaun bank miliknya berjumlah keseluruhan RM212,951.20.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak memberikan sebarang maklumat peribadi dan maklumat perbankan kepada orang yang tidak dikenali.