'Terima kasih Ahmad Said, selamat berkhidmat Rozi'

Ahmad, Rozi
Ahmad, Rozi
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu menyambut baik pelantikan Setiausaha UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu (BPUNT) sebagaimana diputuskan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada Rabu.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pelantikan itu dianggap bersesuaian dengan iklim politik semasa, khususnya pasca Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kalah dengan majoriti 37,220 undi.

"Perkembangan di Kemaman sudah pasti membawa mesej penting daripada rakyat Terengganu yang mahu melihat perubahan drastik dalam kepimpinan UMNO negeri ini.

"Apa yang berlaku itu juga menuntut UMNO agar lebih berani untuk berhadapan dengan cabaran semasa yang semakin kritikal dan memulihkan keyakinan serta kepercayaan rakyat kepada parti itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Ahmad Razif berkata, beliau yakin perubahan kepimpinan UMNO Terengganu akan menjadi titik permulaan kepada sebuah pembaharuan bagi menjadikan politik UMNO lebih bertenaga pada masa akan datang.

"Apa yang penting, proses perubahan itu mestilah seiring dengan persekitaran politik semasa melalui idea dan strategi politik yang lebih realistik dan segar demi UMNO yang selama ini menjadi payung kepada rakyat untuk berteduh," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif turut merakam penghargaan kepada Ahmad Said yang telah banyak berjasa dan menabur bakti untuk parti itu di Terengganu.

Beliau turut mengajak seluruh ahli parti untuk sama-sama berganding bahu demi membangun dan membela rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Ahmad Said di atas segala khidmat bakti yang dicurahkan selama ini.

"Marilah kita semua berganding bahu, bergerak seiring dan meletakkan kepentingan UMNO mengatasi segala-galanya demi rakyat dan negara tercinta," katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi surat dikeluarkan pada Khamis memaklumkan pelantikan Rozi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu dan Johor berkuat kuasa serta-merta.

Rozi menggantikan Ahmad Said yang juga bekas Menteri Besar Terengganu manakala Onn Hafiz mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berdasarkan surat berkenaan, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Rozi dan Onn Hafiz dibuat selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO.

Sebelum ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid menggesa Ahmad meletak jawatan selepas UMNO mengalami kekalahan teruk apabila semua 32 calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Wan Ahmad berkata, Ahmad sebagai seorang pemimpin yang berkaliber dan bekas Menteri Besar Terengganu perlu bertangggungjawab atas kekalahan teruk yang dialami.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!