Padang Stadium Nasional Bukit Jalil masih teruk, bertampal
PADANG Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat masih belum bersedia untuk digunakan bagi aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada Jumaat.
Tinjauan Sukan Sinar di Stadium Nasional itu memperlihatkan keadaan rumput masih rosak dan bertampal di beberapa bahagian padang.
Malah, rumput tersebut juga tidak sekata dengan bahagian tengah padang mengalami kerosakan agak teruk dan sudah tentu akan menjejaskan aksi final tersebut.
Pihak media juga diminta oleh petugas stadium untuk tidak mengambil gambar keadaan padang tersebut.
Isu padang tersebut menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh penyokong bola sepak selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar padang yang rosak angkara konsert kumpulan Coldplay, baru-baru ini.
Pada Rabu, media melaporkan Stadium Nasional Bukit Jalil sudah 90 peratus bersedia untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala Malaysia.
Perkembangan tersebut disahkan sumber dalaman Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan terutamanya di bahagian padang giat dijalankan sejak kira-kira dua minggu lepas sebagai persediaan menjelang final itu.
Sebelum ini, rumput SNBJ ditukar daripada rumput Cow Grass kepada Zeon Zoysia apabila Tunku Ismail menjadi pencetus dan penaja utama kepada penukaran rumput itu.
Rumput tersebut digunakan buat pertama kali ketika perlawanan Pestabola Merdeka antara Harimau Malaya dan India yang menyaksikan padang itu mendapat kritikan selepas rosak teruk akibat keadaan rumput yang belum matang.
Ia bertambah baik ketika aksi Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dalam aksi pembukaan Kumpulan D.
Bagaimanapun, keadaan padang itu sekali lagi mengundang kemarahan orang ramai apabila konsert Coldplay yang berlangsung baru-baru ini menyebabkan keadaan rumput itu kembali rosak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!