LPP lancar polisi perlindungan pemberi maklumat salah laku
KUALA LUMPUR - Budaya mengabaikan etika dan prinsip integriti sehingga terjebak dengan salah laku jenayah atau kelakuan tidak wajar harus ditangani serta dihapuskan sepenuhnya.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim berkata, ungkapan 'bukan lupa tapi tak ingat' kadangkala digunakan sebagai alasan untuk mengalihkan kesilapan, kesalahan atau kecuaian.
Menurutnya, alasan tersebut diguna pakai oleh pelaku supaya dilihat berlaku secara tidak sengaja atau tanpa niat.
"Pada hari ini, kita akan melancarkan polisi perlindungan pemberi maklumat LPP yang akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha kementerian.
"Polisi ini merupakan panduan dan rujukan khususnya kepada pemberi maklumat yang mengambil tanggungjawab bersama bagi menangani isu berkaitan kelakuan tidak wajar serta perkara yang bertentangan dengan prinsip integriti," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Hari Integriti LPP 2023 dengan tema 'Bukan Lupa Tapi Tak Ingat'.
Terdahulu berlangsung forum integriti yang disertai oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pencetus Ummah (PU) Amin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mengulas lanjut, Azulita berkata, menerusi polisi baharu tersebut, pemberi maklumat akan lebih yakin untuk tampil ke hadapan bagi menyampai dan mendedahkan maklumat salah laku.
Tambah beliau, pemberi maklumat juga akan berasa selamat untuk melaporkan sebarang bentuk perlakuan yang menyalahi undang-undang dan peraturan.
Ini kerana jelasnya, kumpulan pemberi maklumat itu yakin akan diberi perlindungan sewajarnya tertakluk pada terma yang telah dinyatakan dalam polisi tersebut.
Sementara itu katanya, LPP berusaha memantapkan dan memperkasa nilai integriti serta etika kerja dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.
Menurut beliau, inisiatif murni tersebut termasuk mengadakan Program Rakan Integriti melibatkan LPP negeri, program khusus integriti serta aktiviti libat urus bersama agensi kerajaan serta swasta.
"Saya berharap semua warga kerja LPP dapat memberi komitmen dengan penuh dedikasi, jujur, telus, benar, berpegang pada janji, adil dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas.
"Integriti bukan hanya lekat pada mulut sahaja tetapi haruslah dijiwai kerana manisnya integriti akan dapat dirasai apabila ia menjadi perisai serta benteng menghalang kita semua daripada terjebak ke dalam pelbagai kelakuan tidak wajar," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!