Final Piala Malaysia: 1,400 pegawai, anggota polis kawal keselamatan
KUALA LUMPUR - Seramai 1,400 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan semasa perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya akan memastikan kelancaran lalu lintas dan mengelakkan sebarang kekecohan.
"Kita menjangkakan kehadiran seramai 85,000 penyokong kedua-dua pasukan bagi menyaksikan perlawanan bola sepak itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, pada Khamis.
Zam Halim berkata, kesemua pintu masuk stadium akan dibuka pada jam 6 petang.
"Bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin, pihak polis akan melakukan pemeriksaan di setiap pintu masuk bagi mengelakkan penonton membawa masuk barang larangan.
"Antara barangan larangan mercun, suar, topi keledar, sebarang objek tajam, minuman keras, payung, botol air, pemetik api, rokok dan rokok elektrik serta pembesar suara," katanya.
Zam Halim turut mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan sebarang provokasi.
Dalam perkembangan berasingan Zam Halim berkata, turut berlangsung di pekarangan stadium tersebut adalah 'Program Setahun Bersama Madani' yang bermula Jumaat hingga Ahad.
"Program itu dilaksanakan di bawah Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata, seramai 100 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras membabitkan dua syif, ditempatkan di lokasi berkenaan.
"program berkenaan dijangka dihadiri 30,000 pengunjung setiap hari, kita juga akan memastikan kelancaran lalu lintas dan pengawasan sepanjang program berlangsung," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!