'MCA takut dengan bayang-bayang sendiri' - UMNO Kedah

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy
A
A
A

ALOR SETAR - MCA seperti takut dengan bayang-bayang sendiri apabila Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kekalahan parti terbabit di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Teik Cheng mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu menerima hakikat bahawa UMNO sudah kehilangan undi Melayu berdasarkan kekalahan tersebut.

Katanya, MCA sebenarnya yang perlu menerima hakikat bahawa MCA yang sudah kehilangan undi pengundi Cina.

"Jika dilihat MCA hanya mampu menang dua kerusi sahaja daripada 44 kerusi yang dipertandingkan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15).

"Atau bagi beliau dua kerusi tu sudah cukup menunjukkan kaum Cina masih berada dalam MCA?," tempelaknya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Malah menurutnya, kerusi- kerusi yang MCA menang itu pun sebenarnya adalah “sedekah” daripada UMNO kerana majoriti pengundi di kawasan tersebut adalah majoriti Melayu.

"Sejak bila UMNO sudah hilang pengundi Melayu, kalau semua kerusi yang UMNO bertanding tidak kira lah kerusi PRU, Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun PRK, semua UMNO tidak hilang deposit.

"Maksudnya undi Melayu itu masih ada dan masih kuat. Kita perlu faham, susah bagi akar umbi untuk menerima kerjasama antara UMNO dan PH, tetapi MCA selaku rakan komponen perlu percaya dengan kekuatan kerajaan Madani yang akhirnya berjaya menarik undi Melayu pada PRU mendatang.

Artikel Berkaitan:

"Sejujurnya, saya merasakan MCA sudah takut dengan bayang bayang sendiri, sebab mereka sedar dengan gabungan BN-PH ini, MCA sudah tidak diperlukan lagi untuk mendapatkan undi kaum Cina kerana sudah ada DAP yang terang-terang berjaya mendapatkan undi kaum berkenaan," katanya.

Shaiful Hazizy menambah, sekiranya pemimpin MCA itu hendak menggunakan PRK Kemaman sebagai indikator betapa teruknya UMNO, beliau perlu ingat UMNO tidak menghantar orang parti ke PRK terbabit.

"Lagipun Kemaman itu memang milik PN pun sebelum ini, malah semua kerusi DUN dan kerusi Parlimen milik PN. Calon UMNO ketika itu pun bertanding melawan dengan Menteri Besar negeri tersebut.

"Tetapi di saat kita tidak hilang deposit, dan berjaya mendapat puluhan ribu undi walaupun bertanding di kerusi yang sangat sangat sukar, itu sudah menunjukkan UMNO masih ada di hati rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!