Terawal pindah PPS tapi terakhir balik rumah
RANTAU PANJANG - Seorang ibu hamil lima bulan yang menjadi mangsa banjir pertama di Kampung Bendang Perol di sini dijangka menjadi individu paling lama berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) To’Deh.
Suri rumah, Nur Adriana Zakaria, 25, berkata, dia berpindah ke PPS tersebut sejak dua minggu lalu selepas rumahnya ditenggelami banjir sedalam hampir tiga meter.
Katanya, keadaan rumah yang terletak di kawasan lembah dan dikelilingi bendang menyebabkan banjir mengambil masa lebih dua bulan untuk surut.
“Kawasan itu ada tujuh rumah dan enam daripadanya rumah saudara-mara saya seramai 35 individu termasuk nenek yang berusia 80 tahun.
“Saya dan keluarga berpindah selepas rumah kami banjir akibat hujan berterusan selama tiga hari dan apabila mangsa lain pulang nanti, kami akan jadi mangsa terakhir yang pulang,” katanya ketika ditemui di PPS To’Deh di sini pada Khamis.
Menurut Nur Adriana, tempoh paling lama dia pernah berlindung di PPS akibat banjir ialah hampir dua bulan pada ketika bencana pada Disember tahun lalu.
“Rumah kami sememangnya mengalami banjir dua hingga tiga kali setahun dan berpindah ke PPS pun sudah menjadi kebiasaan buat kami.
“Kalau mangsa-mangsa lain dah balik, tinggal kami anak-beranak.
"Lagi tiga atau empat hari baru boleh pulang ke rumah kerana menunggu air surut,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Surani Daud, 45, yang berlindung di PPS sama berkata, rumahnya mengalami banjir setinggi dua meter di Banggol Tok Mok Yong, Tersang, sudah menampakkan bahagian lantai rumah dan dia berhajat untuk pulang membersihkannya.
“Saya sudah dua kali berpindah ke PPS ini, yang pertama selama tiga hari dua minggu lalu dan kali kedua pada Sabtu lalu hingga sekarang.
“Saya hanya sempat pulang dua hari sahaja sebelum ini dan berharap dapat pulang esok kalau cuaca tak hujan kerana tidak selesa berada lama-lama di PPS,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!