Kempen Beli Barangan Malaysia tingkatkan jualan produk tempatan

Fuziah Salleh (tengah) merasmikan majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Pasar Raya Lulu, Kuala Lumpur pada Khamis.
Fuziah Salleh (tengah) merasmikan majlis pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di Pasar Raya Lulu, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Lebih 600 produk tempatan mencatatkan jualan sebanyak tiga juta unit setakat November melalui kerjasama Pasaraya LuLu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dan Kerjasama Mengeksport Produk Malaysia ke Luar Negara.

Pasaraya LuLu dalam satu kenyataan berkata, jualan tersebut dicatat hampir 80 syarikat di Malaysia yang mengeksport produk tempatan ke pasar raya itu di tujuh negara.

Menurutnya, antara tujuh negara tersebut ialah Pasaraya LuLu Negara Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Oman, Qatar, Kuwait, Bahrain dan India.

"Pada hari ini juga, pihak kami memberi penganugerahan masing-masing kepada tiga syarikat tempatan dan pengeksport Malaysia terbaik bagi tahun ini yang telah cemerlang dalam prestasi penjualan produk di dalam mahupun luar negara.

"Bagi penerima Anugerah Tiga Syarikat Tempatan Pengeksport Terbaik tahun ini berjaya membuat jualan sejuta unit produk bersamaan hampir RM7.7 juta secara keseluruhan iaitu Kawan Food Manufacturing Sdn Bhd, Sydney Cake House Sdn Bhd dan Carepro Marketing Sdn Bhd.

"Manakala bagi KBBM pula, sebanyak 1,420 produk tempatan berjaya dipromosikan terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) yang membolehkan Fatihah Frozen Sdn Bhd, Afy Haniff Bena & Bekal dan Hang Tuah Sdn Bhd meraih Anugerah Tiga Syarikat Tempatan Terbaik," katanya pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh yang merasmikan pelancaran program KBBM dan inisiatif Kerjasama Mengeksport Produk Malaysia ke Luar Negara di Pasar Raya LuLu, Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, program serta inisiatif yang dijalankan tersebut membantu dalam meningkatkan jumlah permintaan terhadap barangan tempatan di dalam atau luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Tambahan pula, kerjasama dengan pasar raya antarabangsa seperti Pasar Raya LuLu sangat membantu dan mengalakkan produk tempatan menembusi pasaran luar negara.

"Keputusan kerajaan untuk memperkasakan KBBM dan inisiatif ini tepat untuk mengimbangkan cabaran ekonomi semasa khususnya bagi merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.

"Antara strategi dan kaedah paling berkesan melalui penganjuran promosi jualan dan barangan buatan tempatan secara terus kepada pengguna yang dapat meningkatkan kesedaran tentang kewujudan produk ini seterusnya menggalakkan pembelian," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!