Kes bunuh Kevin Morais: Bukti tidak cukup untuk sabit pertuduhan bunuh - Peguam
PUTRAJAYA - Seorang peguam memberitahu Mahkamah Rayuan di sini hari ini bahawa tidak cukup bukti untuk menyokong anak guamnya terlibat dalam pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais.
Peguam Kitson Foong, yang mewakili S Ravi Chandaran, seorang daripada enam lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh Morais berkata, seorang rakan sejenayah yang menjadi saksi pendakwaan hanya memberi keterangan bahawa penculikan telah berlaku dan tidak menyentuh mengenai pembunuhan Morais.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap anak guamnya sepatutnya kerana menculik di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan dan bukannya membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Foong juga berkata, 11 alasan yang digunakan oleh hakim Mahkamah Tinggi untuk mengekalkan pertuduhan bunuh tidak menyokong kesalahan membunuh tetapi menyokong bahawa penculikan telah berlaku.
Pihak pendakwaan cuba mendapatkan keterangan saksi ke-54 (G. Gunasekaran) berhubung pembunuhan itu tetapi dia tidak pernah berkata demikian.
Gunasekaran pada mulanya didakwa bersama enam lelaki itu kerana membunuh Morais tetapi pertuduhan itu kemudian ditarik balik selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melupuskan mayat si mati. Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun mulai 15 September 2015, tarikh dia ditangkap. Dia kemudian dipanggil sebagai saksi pendakwaan.Foong juga berhujah bahawa keterangan Gunasekaran sepatutnya disokong berdasarkan penyertaan aktifnya dalam melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga telah mendapati Gunasekaran sebagai rakan sejenayah dalam kononnya pembunuhan itu.
Beliau berhujah peranan aktif Gunasekaran sebagai rakan sejenayah akan meningkatkan kemungkinan dia mereka-reka atau menambah keterangannya yang memihak kepada pendakwaan untuk memelihara diri.
"Hakim Mahkamah Tinggi tersilap dari segi undang-undang dan sebenarnya dalam memutuskan bahawa terdapat niat bersama kesemua enam tertuduh untuk membunuh Morais,” kata Foong di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin dalam prosiding rayuan keenam-enam lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman mati atas pembunuhan tersebut.
Bekas doktor tentera Kolonel Dr R. Kunaseegaran, 60, Ravi Chandaran, bekas pemberi pinjaman wang, 52, dan empat lagi individu iaitu penganggur R. Dinishwaran, 31, A.K. Thinesh Kumar, 30, M. Vishwanath, 33, dan S. Nimalan, 30, telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 selepas mereka didapati bersalah membunuh Morais.
Kesalahan itu dilakukan di satu lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.
Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 September 2015 setelah kali terakhir dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di Kuala Lumpur dengan menaiki Proton Perdana. Mayatnya ditemui dalam tong minyak berisi simen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.
Terdahulu, mahkamah turut mendengar hujah peguam Nimalan, Amer Hamzah Arshad, yang berkata sabitan membunuh terhadap anak guamnya oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak selamat kerana anak guamnya hanya menunjukkan lokasi tong yang mengandungi mayat Morais dilupuskan tetapi dia tidak mengetahui kandungannya.
Beliau berkata, sebaik-baiknya, pertuduhan terhadap anak guamnya adalah untuk penculikan si mati atau pelupusan bukti tetapi sudah tentu bukan untuk membunuh.
Peguam Datuk N Sivananthan mewakili Kunaseegaran, M. Manoharan mewakili Dinishwaran, Burhanudeen Abdul Wahid peguam bagi Thinesh Kumar dan Afifuddin Ahmad Hafifi mewakili Vishwanath manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Mohd Fuad Abdul Aziz bagi pihak pendakwaan.
Perbicaraan bersambung 14 Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!