'Masa itu nampak putih saja, rasa masa saya sudah tiba' - Nora
INSIDEN dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan bulan lalu meninggalkan kesan buat penyanyi Datuk Nora Ariffin.
Masakan tidak, pemilik nama sebenar Wan Norafizah Datuk Wan Ariffin merasakan diberi peluang kedua untuk terus hidup melihat anak cucunya membesar.
Mengimbau semula detik cemas itu, Nora, 50, berkata, pada awalnya beliau disyaki menghidap demam denggi dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital.
“Asalnya saya ke klinik kerana demam dan doktor syak saya dijangkiti demam denggi. Jadi saya ke hospital untuk dapatkan rawatan dan mereka masukkan air.
“Bagaimanapun mungkin disebabkan ‘overdrip’, badan saya alami air berlebihan termasuk di bahagian paru-paru sehingga menyukarkan saya bernafas,” kongsinya.
Nora berkata, beliau kemudian berpindah ke sebuah pusat perubatan untuk meneruskan rawatan dan ditempatkan di ICU.
“Ketika sesak nafas, saya hanya nampak putih sahaja dan rasa masa saya sudah tiba.
"Saya bertaubat, mengucap dan ketika itu suami ada di sebelah, jadi saya sempat minta maaf pada suami serta pesan jaga anak-anak," katanya ketika ditemui ketika majlis pelancaran pes masakan Secukup Rasa by Nora iaitu Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna di Glenmarie, Shah Alam pada Khamis.
Katanya, keesokannya dia tersedar dan bersyukur diberi peluang untuk terus bernafas dan bersama keluarga.
“Apa yang saya tahu, ketika dimasukkan ke ICU doktor buang air berlebihan dan maklumkan, saya alami serangan jantung kecil, tapi bukan disebabkan oleh kegagalan jantung, sebaliknya kerana air berlebihan itu,” jelasnya.
Enggan memanjangkan cerita, pelatun Hanya Satu itu tidak berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah dan berpendapat pegawai perubatan juga adalah manusia biasa yang tidak lari melakukan kesilapan.
Terdahulu, Nora dimasukkan ke hospital pada 13 November selepas mengadu sakit di bahawa perut kiri sebelum diserang sesak nafas.
Ibu kepada empat orang cahaya mata itu kemudiannya ditempatkan di ICU selama tiga hari dan dibenarkan pulang selepas sembilan hari dirawat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!