Zayn Rayyan suka makan spageti, bihun goreng - Pengasuh
PETALING JAYA - “Banyak kenangan saya dengan Zayn, sukar untuk saya lupakan pengalaman selama setahun menjaganya,” kata Auni Afiqah Abas, 28, pengasuh kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang hilang sebelum mayatnya ditinggalkan di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu.
Menurutnya, kehilangan itu menusuk jauh ke dalam hatinya dan benar-benar perit untuk diterima selepas kanak-kanak berusia enam tahun itu disahkan mati akibat dibunuh.
“Saya berdiri di tengah-tengah blok R tu, saya jerit nama Zayn sekuat hati sebaik turun untuk sama-sama mencarinya pada malam Rabu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian pada Khamis.
Auni berkata, Zayn Rayyan seorang yang lembut macam bayi baru lahir.
“Dia tak pernah nak susahkan saya, susahkan sesiapa pun termasuk mak dia.
“Dia datang rumah saya, masuk dalam, duduk seperti budak normal. Sampai anak saya tarik tangan ajak main.
"Memang terasa kehilangan itu sangat perit sebab tak boleh terima kenyataan jadi macam ini,” katanya.
Tambah Auni, selepas ini dia pasti akan terbayang Zayn Rayyan di kerusi dan meja kegemarannya.
“Dia suka makan spageti goreng, bihun goreng dan ayam masak cili api.
“Selepas ini, saya pasti akan terbayang wajahnya yang berdiri di tepi tingkap menanti ibunya,” katanya.
Sementara itu, ibu mentua Auni Afiqah, Che Zaiton Abd Aziz, 54, pula mengakui agak rapat dengan Zayn Rayyan malah membahasakan dirinya Umi dengan anak kecil itu.
“Zayn diakhir-akhir sebelum kejadian ini kerap merebahkan kepala di riba saya, itu yang paling saya tak boleh lupa.
“Itu memang tak pernah dibuat oleh anak asuhan lain tapi dia satu-satunya anak asuhan yang tinggalkan kesan kepada saya. Dia suka duduk macam itu, baring di paha saya. Dia diam saja, macam dalam dunia dia,” katanya.
Che Zaiton berkata, dia hilang kata-kata sebaik mayat Zayn Rayyan ditemui, seakan-akan tidak percaya dengan kejadian itu.
Tambah Che Zaiton, dia sangat berharap orang ramai dapat menjaga perasaan ibu dan bapa Zayn Rayyan.
“Tidak keluarkan apa-apa kenyataan. Serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan apa saja siasatan dan maklumat.
“Kita bukan di kalangan ahli keluarga, jangan buat apa-apa andaian dan buat sesuatu yang tidak sahih,” katanya.
Kehilangan Zayn Rayyan sejak Selasa lalu terungkai apabila mangsa ditemui meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!