Masjid Zahir jadi masjid pelancongan pertama di Kedah
ALOR SETAR - Masjid Zahir iaitu masjid tertua di Kedah yang terletak di bandar raya Alor Setar, di sini, menjadi masjid pelancongan pertama di negeri ini menyediakan khidmat Pemandu Pelancong Masjid (Mosque Tour Guide) Islamic Outreach ABIM (IOA).
Sukarelawan Pemandu Pelancong Masjid, Mohd Syazwan Prakash Abdullah, 55, berkata, sekumpulan sukarelawan Mosque Tour Guide (MTG) menggerakkan inisiatif tersebut bagi membantu mempromosikan masjid negeri, sekali gus menggalakkan kehadiran pelancong ke Alor Setar.
Beliau menjelaskan, sukarelawan MTG akan memberi penerangan berkaitan sejarah masjid yang berusia lebih 100 tahun itu dan membawa pelancong melawat lokasi menarik di kawasan masjid tanpa dikenakan sebarang bayaran sama ada kepada pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
"Mereka hanya perlu mendaftar di kaunter, kita akan memberi khidmat termasuklah memberi jubah yang menutup aurat kepada pelancong yang memakai pakaian tidak bersesuaian ketika mengunjungi Masjid Zahir yang dibina pada tahun 1912 itu.
"Seperti tadi, ada pelancong Thailand datang namun beliau tidak memakai pakaian bersesuaian, jadi kita sediakan jubah sebelum membawanya masuk ke dalam masjid," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga pendakwah mualaf berkata, kebanyakan sukarelawan MTG fasih berkomunikasi dalam bahasa berbeza, sekali gus memudahkan mereka berkomunikasi dan menerangkan sejarah masjid.
Kata Mohd Syazwan, beliau sendiri boleh berkomunikasi dalam bahasa Tamil, Inggeris, Indonesia dan sedikit kemahiran dalam bahasa Arab untuk memberi penerangan tentang keistimewaan masjid diperbuat daripada bahan seperti putih telur itu.
"Alhamdulillah, sambutan pelancong amat baik apabila dibawa melawat sambil mendengar informasi tentang masjid unik dan pernah disenaraikan sebagai antara 20 masjid tercantik di dunia," katanya.
Seorang lagi sukarelawan MTG, Nur Hayati Ali Bashah, 53, berkata, dia mampu bertutur dalam bahasa Indonesia, sekali gus membolehkan dirinya memberi penerangan ataupun membawa pelancong sekitar masjid menggunakan bahasa terbabit.
Menurutnya, sukarelawan MTG yang berada di Masjid Zahir Tour Guide Counter akan berkhidmat mengikut sesi masing-masing pada setiap hari kecuali Jumaat.
"Waktu operasi pada sesi pagi bermula dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, diikuti sesi petang dari jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang dan sesi petang pula dari jam 3 hingga 5 petang," katanya.
Sementara itu, Imam Besar Masjid Zahir, Mohd Naim Ahmad berkata, Masjid Zahir merupakan masjid yang memiliki bangunan dan nilai sejarah tinggi di Kedah.
Sebagai contoh, kongsi Mohd Naim, pahlawan Kedah dahulunya pernah mempertahankan kawasan Masjid Zahir dan Balai Besar ketika peperangan Siam ke atas Kedah.
Sehubungan itu, kata beliau, sukarelawan MTG yang telah menghadiri beberapa kursus dikelolakan IOA akan membantu masjid negeri mempromosikan hal ehwal pelancongan kepada pelancong yang datang dari pelbagai negara.
Beliau berkata, terdapat kira-kira tujuh sukarelawan di Masjid Zahir dan mereka mampu bertutur dalam beberapa bahasa termasuklah Bahasa Arab, Inggeris, Mandarin dan Tamil.
Mohd Naim menyifatkan sukarelawan berkenaan bukan hanya membantu menyampaikan informasi kepada pelancong, malah mereka turut membantu mengumpul statistik kehadiran pelancong ke Masjid Zahir.
Tambah beliau, kehadiran sukarelawan MTG menerangkan tetang sejarah dan masjid diharapkan menyuntik lagi keimanan kepada pengunjung.
Katanya lagi, ada juga pelancong tergerak untuk mendalami dan berminat memeluk Islam selepas bertemu sukarelawan MTG ketika mengunjungi Masjid Zahir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!