Profesor China ubah genetik bayi dijel tiga tahun
BEIJING - Sebuah mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas saintis yang mengubah suai genetik bayi buat pertama kali di dunia, menurut agensi berita Xinhua hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Profesor He Jiankui pada November 2018 mendakwa beliau menggunakan teknologi suntingan dikenali sebagai CRISPR-Cas9 untuk mengubah genetik bayi kembar perempuan yang telah mencetuskan kritikan di China malah negara antarabangsa turut mempersoalkan etika kerja penyelidikan beliau.
Banyak pihak menolak kejayaan kajian Jiankui kerana didakwa memendekkan jangka hayat malah laporan itu turut diterbitkan menerusi jurnal Nature Medicine.
Oleh itu, beberapa pakar menyifatkan tindakan beliau sebagai 'bodoh' dan 'sangat berbahaya'.
Di bawah kajiannya, Jiankui memaklumkan beliau menyasarkan gen digelar CCR5 yang merupakan satu set genetik penting untuk fungsi sistem imun yang juga merupakan pintu masuk jangkitan virus HIV untuk menjangkiti sel.
Mutasi pada CCR5 didakwa mengunci pintu tersebut dan memberi daya tahan terhadap jangkitan HIV.
Menerusi teknologi suntingan itu, Jiankui mengubah genetik CCR5 tersebut pada embrio Lulu dan Nana yang dilahirkan pada tahun lalu. - Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!