Redah banjir setiap hari beri makan kambing
PASIR MAS - Seorang penternak kambing di Kampung Serongga di sini terpaksa meredah banjir setinggi 0.4 meter sejauh satu kilometer untuk menghantar makanan haiwan ternakannya.
Mohd Faizul Che La, 33, yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang berulang-alik dua kali sehari ke kandang kambingnya untuk memberi makan haiwan itu.
"Saya akan ke kandang kambing dua kali sehari untuk memberi makan dan memastikan ternakan itu sihat walaupun dalam cuaca tidak menentu," katanya ketika ditemui di Kampung itu.
Menurutnya lagi, kawasan sekitar kandang haiwan ternakan itu ditenggelami banjir lebih satu meter sejak minggu lalu.
"Saya juga tidak dapat menyabit rumput sepanjang musim hujan dan hanya membeli dedak," katanya.
Mohd Faizul juga membuat keputusan membina kandang lebih tinggi sejak kampung itu dilanda banjir beberapa tahun lalu bagi mengelakkan masalah berterusan.
"Sebelum ini, saya hanya menternak kambing di sekitar rumah tetapi tetapi terpaksa membuat kandang lebih tinggi selepas rumah halaman rumah dinaiki air," katanya.
Bagaimanapun, jelas bapa kepada seorang anak berusia tiga tahun itu, seekor kambingnya mati bersama anak yang baru dilahirkan selepas terjatuh dari kandang dua hari lalu.
"Menjadi tanggungjawab saya menjaga ternakan yang ada dan memang tidak kisah mengharungi air kerana paling utama ia tidak lapar dan sihat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!