Harga minyak masak botol kekal
PUTRAJAYA - Harga minyak masak tulen dalam botol dikekalkan bagi membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan langkah itu bagi mengelakkan pengguna dari terkesan dengan sebarang isu kenaikan harga yang tidak munasabah.
Harga ditetapkan adalah RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg).
"Antara inisiatif Kerajaan Madani adalah mengekalkan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen dalam botol menerusi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.13) 2023," kata kementerian itu dalam kenyataan.
Tegas KPDN, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum boleh diambil tindakan di bawah akta tersebut iaitu denda RM100,000, RM500,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Kerajaan akan terus memantau dan melaksanakan penguatkuasaan serta turut menggalakkan pengguna agar menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa KPDN termasuk harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!