Tukar kerusi Stadium Sultan Muhammad Ke-IV secara berperingkat
KOTA BHARU - Penukaran kerusi baharu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV akan dilaksanakan secara berperingkat kerana tuntutan kos yang tinggi.
Exco Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakshari Muhamad berkata, keputusan itu dibuat oleh Perbadanan Stadium Kelantan dan pada peringkat awal sebanyak 6,000 kerusi akan dipasang.
Menurut beliau, jumlah itu berdasarkan kehadiran penonton dan peminat bola sepak yang direkodkan setiap kali perlawanan berlangsung.
"Langkah ini juga bagi memenuhi permintaan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kesesuaian jumlah kehadiran penonton," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Apresiasi 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Pelancaran Dokumen Induk di sini pada Khamis.
Selain itu Zamakshari memberitahu, pihaknya turut mengadakan perbincangan mengenai masalah pengairan di stadium berkenaan berikutan air bertakung jika hujan lebat.
Justeru jelas beliau, pihak perbadanan sudah meminta Jabatan Kerja Raya melihat fasiliti termasuk longkang dan struktur berkaitan.
"Kita akan merujuk Kementerian Belia dan Sukan jika memerlukan peruntukan dan kos yang tinggi," katanya.
Berkaitan pembaikan papan mata digital, beliau memaklumkan akan membuat tawaran dengan pakej tertentu yang menguntungkan kedua-dua pihak.
"Keputusan baru saja dibuat. Kita akan menyiapkan proposal dengan pakej seperti pengiklanan dan mendapat manfaat bersama bagi menjimatkan kos," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!