Tiada kejadian cubaan culik kanak-kanak di Penampang - Polis
PENAMPANG - Polis mengesahkan bahawa tiada sebarang kejadian cubaan menculik kanak-kanak di daerah ini seperti yang ditularkan di Facebook baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung dakwaan seorang kanak-kanak telah ditarik bahagian lengan oleh seorang individu yang tidak dikenali ketika berjalan di sebuah pasar raya di daerah ini pada Rabu.
"Hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati ketika kejadian pengadu berada di sebuah kedai mencari barang perhiasan dan salah seorang daripada tiga anaknya yang berada di belakang secara tiba-tiba menjerit dan pengadu mendapati seorang wanita yang tidak dikenali berada berhampiran dengan anaknya itu.
"Bagaimanapun, hasil soal siasat terhadap pengadu mendapati tidak terdapat unsur jenayah seperti yang didakwa oleh seorang individu yang memuat naik hantaran mengenai cubaan menculik sehingga tular di media sosial baru-baru ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sehubungan itu, Sammy menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang jenayah cubaan menculik dan tular di Facebook sebaliknya ia adalah satu fakta yang bercanggah dengan keterangan pengadu.
"Oleh itu, orang ramai diminta menghentikan penyebaran hantaran tersebut bagi mengelak salah faham sehingga menimbulkan kegusaran yang boleh mengancam keselamatan masyarakat setempat.
"Mana-mana indivdiu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen
233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman drnda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!