Polis semak CCTV cari petunjuk suspek kes Zayn Rayyan
PETALING JAYA - Polis menjalankan siasatan meliputi semua elemen dalam usaha memberkas pembunuh Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin termasuk melakukan semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kaedah spesifik tentang siasatan dilakukan tidak dapat didedahkan kerana boleh mengganggu siasatan.
"Apa yang boleh saya katakan, siasatan melibatkan semua elemen dan petunjuk yang kita peroleh, termasuklah semakan CCTV dan sebagainya.
"Bagaimanapun saya tidak dapat ceritakan semua kerana ia dapat mengganggu siasatan, kita akan maklumkan kemudian sekiranya ada perkembangan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, pasukan penyiasat turut menjalankan siasatan semula di lokasi penemuan mayat mangsa bagi mengumpul segala bukti dan petunjuk.
"Siasatan dijalankan di lokasi mangsa ditemukan bagi mengesan sekiranya terdapat petunjuk-petunjuk baharu.
"Selain itu, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan sejak mangsa ditemui pada Rabu," katanya.
Pada Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di tengah hari Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!