Kepimpinan Anwar peluang Malaysia perluas pengaruh di Asia Barat - Pakar

Anwar beramah mesra bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman (kiri) dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas (kanan) pada Sidang Media Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali Kelapan di Riyadh Arab Saudi baru-baru ini. - Foto Fail Bernama
Anwar beramah mesra bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman (kiri) dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas (kanan) pada Sidang Media Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kali Kelapan di Riyadh Arab Saudi baru-baru ini. - Foto Fail Bernama
A
A
A

NEW DELH - Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia dilihat mempunyai peluang untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Barat, menurut pemerhati politik.

Pendirian Malaysia terhadap krisis Gaza telah menarik perhatian terhadap pemikiran jelas Anwar mengenai isu Palestin manakala lawatan beliau ke Asia Barat dan Afrika Utara pada Oktober menunjukkan kesungguhan Perdana Menteri untuk membina hubungan ekonomi yang lebih erat dengan rantau berkenaan.

Ketika kunjungannya ke Arab Saudi, Anwar telah mengadakan perbincangan yang menyentuh pelbagai isu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Antara topik yang menjadi agenda perbincangan, termasuk perdagangan, tenaga, air, pertanian, keterjaminan makanan, ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan tinggi.

Anwar dan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman turut mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel di Gaza dan membantah tindakan memaksa penduduk Palestin berpindah.

"Malaysia senantiasa teguh menyokong perjuangan Palestin dan lantang bersuara mengenai bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza selain mengkritik hipokrasi Barat. Kesungguhan Anwar dalam isu ini menarik perhatian seluruh dunia," kata Prof Sains Politik di Aligarh Muslim University (AMU) Mirza Asmer Beg kepada Bernama.

Mirza ditanya mengenai perspektifnya terhadap Anwar sebagai pemimpin kerajaan Malaysia, menjelang setahun pentadbirannya pada akhir minggu ini.

Rundingan Anwar dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan pula menumpukan kepada perdagangan dan pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang mempunyai hubungan yang baik dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan lawatan beliau ke Ankara sudah semestinya dapat melonjakkan momentum dalam hubungan dua hala.

Perbincangan Perdana Menteri dengan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi turut memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara paling padat penduduk di dunia Arab dan kuasa besar politik di rantau itu.

Anwar dan El-Sisi mencapai titik persamaan mengenai Palestin dan menekankan perlunya masyarakat antarabangsa memberi tekanan ke atas rejim Israel untuk menghentikan serangan terhadap penduduk Gaza.

Malaysia juga proaktif berhubung dengan negara-negara penting di Asia Barat untuk mengetengahkan kekejaman Israel di Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Kedudukan Malaysia dan Asia Barat mungkin jauh dari segi geografi tetapi mereka didekatkan oleh kepentingan agama dan politik yang sama serta hubungan perdagangan yang saling menguntungkan.

"Malaysia telah mencapai kemajuan yang besar dalam sektor sosial dan ekonomi yang dilihat oleh rantau Teluk sebagai sesuatu yang boleh memberi manfaat bersama kepada Malaysia dan negara Arab.

"Pembangunan infrastruktur, pendidikan, tenaga, perdagangan dalam komoditi pertanian, ekonomi digital dan inovasi teknologi adalah sebahagian daripada bidang kerjasama yang jelas antara rantau ini dan Malaysia," kata Bilgrami.

Bilgrami merupakan bekas ketua kanan Fakulti Perdagangan di AMU dan bekas ketua Pengajian Perniagaan di University of Technology and Applied Sciences in Al Musannah,Oman.

Kedua-dua pemerhati politik itu juga melihat Malaysia sebagai pautan penting dalam usaha enam negara Ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN untuk memulakan landasan kerjasama baharu dalam landskap ekonomi dan politik global yang berubah.

"GCC adalah kumpulan ekonomi dan politik yang sangat berpengaruh yang melibatkan Afrika dan Asia Selatan. Terdapat persamaan antara apa yang GCC dan ASEAN lakukan dalam geografi masing-masing.

"Oleh itu, satu perkembangan yang menggalakkan untuk melihat mereka bersemangat membangun hubungan yang lebih baik," kata Bilgrami.

Usaha Anwar di Asia Barat mendapat manfaat daripada kedudukan hab Malaysia di Asia Timur dan hubungan tradisi yang baik dengan negara-negara utama OIC seperti Arab Saudi, Iran, Mesir dan Turkiye.

Sebagai satu blok, ahli GCC melihat banyak persamaan dengan Asia Timur.

Kenyataan bersama persidangan GCC-ASEAN pada Oktober merujuk kepada kumpulan mereka sebagai "dua rantau dinamik berdasarkan visi bersama mereka untuk masa depan."

Walaupun diilhamkan oleh kepentingan dan hubungan sejarah, kedua-dua pihak menyedari bahawa perkongsian sumber, pengetahuan dan teknologi akan menjadi lebih penting pada masa depan.

Pandangaan antarabangsa Anwar seharusnya memberi manfaat kepada beliau dalam menerajui Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih penting untuk merapatkan GCC dan ASEAN serta mengembangkan kedudukan negara dalam OIC. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!