Dinamika zakat dan wakaf tingkatkan ketakwaan

Unsur keagamaan, kebajikan dan kewangan mesti diletakkan dalam pakej seimbang

PERBANKAN dan kewangan islam mempunyai potensi besar untuk berkembang bukan sahaja di peringkat nasional, malahan global. -Gambar kecil: PROF EMERITUS MUHAMMAD SYUKRI
PERBANKAN dan kewangan islam mempunyai potensi besar untuk berkembang bukan sahaja di peringkat nasional, malahan global. -Gambar kecil: PROF EMERITUS MUHAMMAD SYUKRI
A
A
A

DALAM perkembangan ilmu Islam sekarang, ada satu fenomena yang agak menarik. Pemikiran ilmu-ilmu Islam terutama pemikiran ekonomi Islam dan pemikiran pembangunan zakat serta wakaf didominasi oleh pemikiran kewangan Islam.

Dominasi pemikiran kewangan Islam dalam bidang-bidang di atas sebenarnya bukanlah satu fenomena baharu. Ia telah berlaku sejak akhir 1970-an dan awal 1980-an lagi ketika berlakunya kebangkitan semula Islam.

Dalam bidang ekonomi Islam misalnya, pemikiran perbankan dan kewangan Islam telah menjadi pemikiran yang dominan. Dinamika pemikiran perbankan dan kewangan Islam itu sangat kuat hingga ia seolah-olah muncul sebagai satu disiplin baharu yang berasingan daripada disiplin ekonomi Islam.

Disiplin ekonomi Islam semakin kurang menarik minat cendekiawan walaupun pemikiran perbankan dan kewangan Islam sebenarnya merupakan sub-set kepada pemikiran ekonomi Islam itu sendiri.

Dominasi pemikiran kewangan

Tidak dinafikan ekonomi Islam memang ada dikaji dan dibincangkan tetapi ia tidak sehebat kajian serta perbincangan tentang perbankan dan kewangan Islam.

DALAM bidang ekonomi Islam misalnya, pemikiran perbankan dan kewangan Islam telah menjadi pemikiran yang dominan. Dinamika pemikiran perbankan dan kewangan Islam itu sangat kuat hingga ia seolah-olah muncul sebagai satu disiplin baharu yang berasingan daripada disiplin ekonomi Islam.
DALAM bidang ekonomi Islam misalnya, pemikiran perbankan dan kewangan Islam telah menjadi pemikiran yang dominan. Dinamika pemikiran perbankan dan kewangan Islam itu sangat kuat hingga ia seolah-olah muncul sebagai satu disiplin baharu yang berasingan daripada disiplin ekonomi Islam.

Artikel Berkaitan:

Di kebanyakan universiti, program perbankan, kewangan Islam dan ilmuan-ilmuannya adalah jauh lebih banyak serta ramai daripada program ekonomi Islam.

Fenomena sedemikian berlaku kerana empat sebab utama. Pertama, sifat perbankan dan kewangan Islam dilihat lebih terfokus, manakala sifat ekonomi Islam dilhat lebih umum.

Kedua, perbankan dan kewangan Islam mempunyai potensi yang besar untuk berkembang bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat global.

Ketiga, terdapat pelbagai institusi bergiat cergas dalam bidang tersebut, sementara yang keempat, institusi-institusi perbankan dan kewangan Islam menyediakan pelbagai peluang pekerjaan bagi mereka yang mengkhusus dalam bidang berkenaan.

Dominasi pemikiran kewangan begini juga berlaku dalam pemikiran hal ehwal pembangunan zakat dan wakaf. Dominasi itu tergambar dalam beberapa pemikiran berikut.

Pertama, zakat dan wakaf telah dianggap sebagai 'kewangan sosial Islam' (Islamic social finance), seolah-olah zakat dan wakaf tersebut hanyalah berkaitan dengan kewangan semata-mata.

Roh keagamaan dan kebajikan zakat serta wakaf telah diperkecilkan kepada roh kewangan.

Malah, ada dalam kalangan pemikir kewangan itu berpendapat wakaf adalah produk kewangan, bukan produk keagamaan.

Bagi mereka, pembangunan wakaf selama ini tidak dapat dilakukan dengan berkesan kerana pandangan yang mengikat wakaf dengan keagamaan tersebut.

Kedua, ukuran kejayaan dan kegagalan projek zakat serta wakaf tertumpu kepada unsur kewangan yang berasaskan kepada angka-angka ringgit sahaja. Ia jarang sekali tertumpu kepada impak yang merentasi angka-angka ringgit tersebut. Zakat dan wakaf dikira berjaya sekiranya tinggi jumlah kewangan dalam pungutan dan pengagihannya.

Mereka tidak mengambil kira apakah impak pungutan dan pengagihan zakat serta wakaf itu kepada peribadi, budaya hidup, keterampilan, keimanan, dan ketaqwaan penerima zakat (asnaf atau mustahik) serta penerima manfaat wakaf (maukuf alaih).

SEKARANG sudah sampai masanya pemikir pembangunan zakat dan wakaf merentasi pemikiran kewangan kepada satu pemikiran yang lebih holistik.
SEKARANG sudah sampai masanya pemikir pembangunan zakat dan wakaf merentasi pemikiran kewangan kepada satu pemikiran yang lebih holistik.

Dalam keadaan demikian, dimensi-dimensi yang tersirat (intangible) ini tertinggal dalam usaha membangunkan asnaf/mustahik dan maukuf alaih melalui zakat serta wakaf. Akibatnya, usaha tersebut bersifat superficial, tidak komprehensif.

Lebih holistik

Sekarang sudah sampai masanya pemikir pembangunan zakat dan wakaf merentasi pemikiran kewangan kepada satu pemikiran yang lebih holistik. Selain mencari jalan kewangan memaksimumkan pungutan dan pengagihan zakat serta wakaf secara benar-benar Islam, tumpuan kepada unsur-unsur keagamaan dan kebajikan zakat serta wakaf juga perlu diambil kira.

Unsur-unsur keagamaan, kebajikan dan kewangan mesti diletakkan dalam satu pakej yang sepadu dan seimbang. Selain daripada memperbaiki kewangan asnaf/mustahik dan maukuf alaih, peribadi, budaya hidup, keterampilan, keimanan, ketakwaan, dan hal-hal yang tersirat (intangible) mereka juga mesti dirancang dan diperbaiki dengan sebaiknya.

Sekiranya asnaf/mustahik dan maukuf alaih hanya dapat menyelesaikan masalah kewangan mereka, sedangkan peribadi, budaya hidup, keterampilan, keimanan serta ketakwaan mereka tidak meningkat dengan sebaiknya, maka ia tidak memberi makna apa-apa kepada seluruh kehidupan mereka.

Dalam konteks tersebut, model projek Makmal Sosio-Akademik (MASA)@Sungei Nibong di Pulau Pinang yang digagas dan dilaksanakan oleh Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta Wakaf Pulau Pinang (WPP) boleh dijadikan contoh.

Mereka menggabungkan dinamika zakat dan wakaf untuk bukan sahaja menyelesaikan masalah kewangan asnaf/mustahik serta maukuf alaih mereka tetapi juga meningkatkan peribadi, budaya hidup, keterampilan, keimanan dan ketakwaan kumpulan sasaran tersebut dalam satu pakej yang komprehensif serta sepadu.

Setelah sekitar tiga tahun dilaksanakan, projek yang merentas pemikiran kewangan itu telah mempamerkan hasil yang cukup memberangsangkan.

***Prof Emeritus Muhammad Syukri Salleh (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!