Enam termasuk presiden sebuah NGO disyaki jual darjah kebesaran palsu ditahan
Menurut sumber SPRM, empat lelaki termasuk presiden NGO berkenaan serta dua wanita yang berusia 30 hingga 50-an itu ditahan di lokasi berasingan iaitu Ibu Pejabat SPRM di sini dan Melaka antara 30 November dan Rabu lepas.
Semua mereka ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penjualan darjah kebesaran pingat persekutuan palsu yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ dengan bayaran kira-kira RM2 juta, dan presiden NGO itu disyaki menjadi dalang utama.
"Presiden NGO itu disyaki menetapkan harga bagi calon yang berminat mendapatkan pingat kebesaran dan mengarahkan ahli sindiketnya iaitu seorang lelaki berusia 50-an menyamar sebagai Tengku.
"Ia bagi mendapatkan bayaran untuk menipu kira-kira enam individu lain yang ingin mendapatkan pingat kebesaran tanpa melalui prosedur biasa,” katanya.
"Sindiket ini dipercayai mula menjalankan kegiatan sejak 2020 dan telah memperdayakan beberapa mangsa membabitkan kerugian beratus ribu ringgit dengan menunjukkan gambar dan surat dokumen daripada sebuah agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa bahawa gelaran dan pingat yang diatur melalui pintu belakang ini adalah benar-benar tulen,” katanya.
Beliau berkata sindiket itu mengenakan bayaran berbeza mengikut darjah kebesaran misalnya gelaran Datuk bernilai kira-kira RM150,000, Datuk Seri RM250,000 manakala Tan Sri bernilai kira-kira RM2 juta.
Menurut sumber berkenaan, seorang mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 50-an dipercayai telah membayar kira-kira RM1.2 juta untuk mendapatkan gelaran Tan Sri menerusi beberapa transaksi bank kepada sindiket berkenaan.
Difahamkan SPRM sedang berusaha mengesan lima lagi invididu yang turut menjadi mangsa.
Presiden NGO itu kini direman sehingga 11 Disember manakala empat lagi individu direman sehingga hari ini manakala seorang telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
"SPRM sedang berusaha mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!