'Enel, pulanglah...Mami rindu'

Muhammad Danial
Muhammad Danial
A
A
A

KUALA LUMPUR - 'Walau di mana Enel berada, Mami harap Enel selamat'.

Demikian luah ibu kepada Muhammad Danial Akmal Zulkhairi, 14, yang dipercayai hilang dari asrama sebuah sekolah berasrama penuh di Cheras pada Khamis.

Shuhada Jamaludin, 38, berkata, anaknya yang mesra dipanggil dengan nama Enel itu ada membuat tiga panggilan kepadanya kira-kira jam 6.33 pagi pada Rabu.

"Pagi tu ada dia buat tiga panggilan tapi saya tak sempat nak angkat, tapi selalunya kalau pagi dia hubungi andai tak dapat, dia akan hubungi semula selepas waktu prep malam.

"Tapi masa tu dia tak hubungi pun, ketika itu saya rasa tak sedap hati, tapi saya cuba elak berfikiran negatif sehinggalah pihak sekolah hubungi dan beritahu yang Enel tiada di asrama," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, anaknya itu merupakan seorang pelajar yang cemerlang selain tidak mempunyai masalah dalam pembelajaran.

"Enel tak ada masalah dalam belajar, dia cemerlang dalam akademik, cumanya dia seorang yang 'introvert' selain tak ramai kawan.

"Selain itu, dia juga seorang yang sensitif dan mudah tersentuh, tapi pergaulannya dengan rakan-rakan setahu saya baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shuhada berkata, dia berharap anak sulung dari tiga beradik itu berada dalam keadaan selamat dan dapat segera ditemui.

"Jujur saya katakan dia anak yang baik, dan mendengar kata saya dan suami, dia tidak pernah bertindak sebegini sebelum ini.

"Saya harap dia segera pulang ke rumah dan sentiasa berada dalam keadaan selamat, saya rindukan dia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kehilangan mangsa kira-kira jam 1.21 petang pada Khamis.

"Mangsa kali terakhir dilihat berada di kawasan sekolah pada Khamis kira-kira jam 12.30 tengah malam.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan mangsa mohon tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/ 5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!