Reman tiga suspek kes tikam peniaga disambung lagi

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Reman terhadap tiga suspek yang terlibat dalam kes bunuh seorang peniaga nasi ekonomi pada 5 Disember lalu disambung tiga hari lagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V Saravanan berkata, sebelum ini, tiga suspek yang merupakan rakan rapat mangsa ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat.

"Kita memperoleh perintah sambung reman tiga hari lagi terhadap tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita untuk melengkapkan siasatan.

"Setakat ini tiada tangkapan lain dan kita sedang giat menjalankan siasatan untuk mengesan kemungkinan ada suspek lain yang terlibat selain saksi-saksi kejadian," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, polis berjaya menahan tiga suspek berusia lingkungan 29 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes seorang peniaga nasi ditikam dalam kejadian malam Selasa.

Ketiga-tiga suspek itu ditahan di sekitar Jelutong pada jam 7.30 malam hari sama dan direman tiga hari sehingga 8 Disember untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian sebelum ini, seorang peniaga nasi ekonomi di Pasar Awam Jalan Perak maut apabila ditikam 27 kali pada seluruh badannya di tempat meletak kenderaan di sebuah pangsapuri di Jalan Perak, di sini.

Mangsa berusia lingkungan 60-an disahkan meninggal dunia di hospital ketika sedang diberi rawatan.

Artikel Berkaitan:

Warga emas terbabit dipercayai diserang dua suspek yang mana salah seorangnya telah menikam mangsa manakala seorang lagi menunggu rakannya di atas motosikal.

Mangsa disahkan meninggal dunia kerana ditikam antaranya di dada, leher dan beberapa anggota badan yang lain dipercayai menggunakan pisau pendek.

Bagaimanapun, motif pembunuhan masih disiasat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!