Perpisahan antara punca cukai taksiran tidak dibayar
MELAKA - Masalah kekeluargaan seperti perpisahan dikenal pasti menjadi antara punca berlakunya tunggakan cukai oleh pemilik harta persendirian di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, konflik berlaku menyebabkan mereka berpindah dan membiarkan rumah ataupun harta milikan dalam keadaan kosong sekali gus menyukarkan untuk MBMB mengesan pemiliknya.
Menurutnya, tunggakan yang dikenal pasti bukan melibatkan tempoh setahun dua, namun terdapat pemilik-pemilik akaun ini mempunyai tunggakan lebih 10 tahun.
"Kita telah kenal pasti ada di antara mereka mempunyai masalah kekeluargaan dan bukannya disebabkan faktor ekonomi.
"Bagi industri pula, mereka memberi alasan berlaku pertukaran pengarah atau perniagaan, namun apa alasan diberikan selagi harta itu milik mereka maka mereka perlu bayar cukai tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran MBMB 2023 yang disempurnakan oleh Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Zulkifli Mohd Zin di Bangunan MBMB, Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun, katanya, dengan wujudnya Unit Tunggakan Hasil pada tahun ini, pihaknya akan lebih mempergiatkan usaha memburu pemilik akaun yang mempunyai tunggakan hasil tinggi terutama di kawasan industri.
"Unit Tunggakan Hasil yang diketuai seorang pegawai dan 20 anggota sentiasa turun padang untuk mengenal pasti pihak yang terlibat sebelum tindakan sitaan dilakukan.
"MBMB boleh mengeluarkan arahan sitaan, namun pada masa ini pihaknya lebih menggunakan budi bicara dengan mengeluarkan notis terhadap pemilik akaun yang mempunyai tunggakan," ujar beliau.
Malah katanya, MBMB telah berjaya mengutip RM107juta bagi cukai semasa menjadikan kutipan terkumpul cukai keseluruhan berjumlah RM123 juta pada tahun ini.
"Kutipan cukai pada tahun ini menunjukkan peningkatan lebih-lebih lagi setelah ada unit berkenaan.
"Sehingga 30 November lalu sebanyak RM16juta cukai tertunggak telah berjaya dikutip," katanya.
Program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran yang dianjurkan MBMB bagi menghargai pembayar-pembayar cukai sempena sambutan ulang tahun MBMB ke-20 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!