82 peratus responden sokong 30 inisiatif Ekonomi Madani
KUALA LUMPUR - Sebanyak 82 peratus responden yang mengambil bahagian dalam kaji selidik ‘Inisiatif Ekonomi Madani: Penerimaan Rakyat’, menyokong dan menerima baik 30 Inisiatif Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau menjawat jawatan itu kira-kira setahun lepas.
Kajian oleh sekumpulan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) selama 34 hari bermula 1 November lepas itu melibatkan 4,606 responden yang dipilih secara rawak daripada 21,473,409 pengundi berdaftar, merangkumi semua kaum, jantina dan peringkat umur, di semua kawasan parlimen di negara ini.
UUM dalam kenyataan memaklumkan kajian oleh sekumpulan penyelidik dari institusi berkenaan dan dua badan bukan kerajaan (NGO) mendapati inisiatif paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan yang memerlukan, khususnya golongan miskin.
"Antaranya inisiatif mendorong Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menyumbang RM60 juta kepada pesawah miskin yang mendapat 96 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan, manakala inisiatif menoktahkan miskin tegar pula mendapat 93 peratus sokongan berbanding tiga peratus bantahan.
"Turut mendapat penerimaan tertinggi responden adalah inisiatif pemberian sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termiskin yang mendapat 93 peratus sokongan berbanding empat peratus bantahan,” menurut kajian itu.
Selain itu, satu lagi aspek Inisiatif Ekonomi Madani yang paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah dengan penerimaan tinggi terhadap langkah kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal.
Langkah yang mendapat 94 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan itu diyakini dapat menjamin kebijakan ekonomi yang lebih telus dan bertanggungjawab.
"Turut mendapat sokongan inisiatif kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan untuk menjamin supaya tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum yang mendapat 94 peratus sokongan berbanding dua peratus bantahan.
"Untuk inisiatif melaksanakan reformasi institusi dan tatakelola baik bagi menghapus segala ruang yang boleh mewujudkan amalan rasuah pula, mendapat 93 peratus sokongan berbanding empat peratus bantahan,” menurut kajian itu.
Sementara itu, kajian itu juga mendapati 83 peratus responden menyatakan puas hati dengan kejelasan hala tuju dasar-dasar ekonomi di bawah konsep Malaysia Madani berbanding tujuh peratus ketidakpuasan hati.
"Sebanyak 78 peratus responden juga menyatakan keyakinan Inisiatif Ekonomi Madani mampu membawa ekonomi Malaysia menjadi lebih kuat dan 66 peratus responden turut menyatakan kepuasan hati mereka dengan prestasi Perdana Menteri menguruskan ekonomi Malaysia,” maklum kajian itu.
Menurut kenyataan itu, dapatan kajian berkenaan sekali gus menidakkan kenyataan sesetengah pihak bahawa dasar ekonomi di bawah konsep Malaysia Madani tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
Pada masa yang sama hasil kajian ini juga secara langsung menolak tanggapan bahawa ramai rakyat tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan yang memerlukan, memerangi rasuah dan menjana pertumbuhan ekonomi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!