Lelaki didenda RM7,000 buat hantaran jelik terhadap pegawai polis wanita
Gambar hiasan
A
A
A
Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Fatariza Abd Hamid, 49, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda, bagaimanapun OKS membayar denda itu.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut untuk menyakitkan hati orang lain di akaun Facebook "Fatariza Hamid” pada jam 2.13 pagi, 30 Julai 2021 dengan pautan dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, Wangsa Maju pada jam 11.05 pagi, tarikh sama.
Pertuduhan terhadap Mohamad Fatariza adalah menurut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal sebelum itu memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS serta orang awam supaya lebih berhati-hati dan menjaga adab dalam menggunakan media sosial.
"OKS membuat hantaran itu kepada seorang penjawat awam. Oleh itu, satu pengajaran harus diberikan kepada OKS supaya tidak mengulangi kesalahan sama," kata Nurilya Ellyna.
Peguam Salmi Hamdan Sabran yang mewakili OKS merayu hakim mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya mempunyai tiga anak dan seorang daripadanya merupakan orang kurang upaya (OKU) serta menghidap penyakit jantung.
"Ini merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya dan dia memohon maaf serta insaf atas kesalahan yang dilakukannya. OKS berharap mahkamah dapat memberikan peluang kedua untuk dia berubah ke arah yang lebih baik," kata peguam itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!