Pembiayaan mikro zakat untuk usahawan asnaf dilancar

Rizal IL-Ehzan Fadil Azim (dua dari kiri) dan Mohamed Shamir Abdul Aziz (dua dari kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di M Resort dan Hotel pada Jumaat.
Rizal IL-Ehzan Fadil Azim (dua dari kiri) dan Mohamed Shamir Abdul Aziz (dua dari kanan) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di M Resort dan Hotel pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Pembiayaan Mikro Zakat (AZAM) di bawah Alliance Islamic Bank (AIS) dengan peruntukan sebanyak RM225,000 bakal memberi manfaat kepada 45 usahawan asnaf di Selangor bagi mengembangkan perniagaan melalui model agihan zakat dalam bentuk pembiayaan mikro.

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, pembiayaan sebanyak RM5,000 kepada setiap usahawan asnaf itu bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan tersebut.

"Ia bukan julung kali diadakan kerana konsep zakat sebelum ini diagihkan secara langsung kepada golongan tersebut untuk membantu keperluan asas mereka seperti pakaian, makanan, kesihatan dan pendidikan.

"Sekarang kami cuba pelopori kaedah agihan baru yang mana zakat ini digunakan sebagai pembiayaan iaitu mereka (usahawan asnaf) akan dapat akses kepada modal perniagaan.

Rizal IL-Ehzan Fadil Azim
Rizal IL-Ehzan Fadil Azim

"Selain itu, ia akan menjadi simulasi atau latihan kepada usahawan-usahawan asnaf untuk menjalankan perniagaan dengan harapan mereka dapat tambah pendapatan dan satu masa nanti dia akan bertukar daripada penerima kepada pembayar zakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran AZAM dan Tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara AIS dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di M Resort dan Hotel di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Shamir Abdul Aziz
Mohamed Shamir Abdul Aziz

Tambah Rizal IL-Ehzan, usahawan yang menerima pembiayaan mikro itu perlu membayar balik pinjaman tersebut selepas tempoh satu tahun pinjaman.

"Sekiranya penerima tak mampu nak bayar semula pinjaman, pendekatan yang diambil sekadar ikut kemampuan masing-masing tetapi kalau tetap tak boleh, kami buat keputusan untuk lupuskan terus hutang ini.

"Cuma, pada masa akan datang, mungkin penerima ini tak akan dapat mohon lagi dan kami akan beri peluang kepada orang lain yang betul-betul memerlukan pula," ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Shamir berkata, penerima pembiayaan tersebut perlu menjalani latihan yang disediakan AIM melibatkan modul berkenaan pengetahuan perniagaan, pemasaran dan sebagainya.

"Di AIM, kami kendalikan 11 topik dan yang terakhir berkaitan dengan pembiayaan. Sesi latihan ini akan dijalankan setiap minggu secara berterusan.

"Mereka (usahawan asnaf) akan terlibat sama dengan usahawan lain dan datang luangkan masa lebih kurang 30 hingga 40 minit bersama pegawai-pegawai AIM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!