Bantuan kemanusiaan Op Ihsan sudah sampai kepada penerima di Gaza
KUALA LUMPUR - Dua penghantaran bantuan kemanusiaan menerusi Op Ihsan sebelum ini telah pun selamat sampai kepada penerima di lokasi sasaran di Gaza, sebagaimana yang dirancang.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau sendiri telah mendapat laporan berhubung perkembangan penghantaran itu.
"Telah sampai dan masuk (bantuan ke Gaza) kita sudah dapat laporan, hantaran itu telah sampai ke sasaran ke tempatnya seperti dirancang," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Zambry menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan.
Anwar sebelum itu makan tengah hari di Medan Selera Jalan Duta yang terletak berhampiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sehubungan itu Zambry mengajak orang ramai sama-sama berdoa agar misi penghantaran barangan bantuan kemanusiaan siri ketiga kepada penduduk Palestin di Gaza pada 17 Disember depan dipermudahkan.
Katanya, bantuan siri ketiga itu melibatkan penghantaran barangan seberat 60 tan, lebih banyak berbanding siri sebelumnya.
Malaysia sebelum ini telah membuat dua penghantaran ke Gaza, dengan penghantaran pertama melibatkan 20 tan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan
Penghantaran kedua yang membawa 16 tan barangan bantuan pula telah tiba di Mesir pada 11 November lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!