Yakeb nafi abai Lee Peng

Lee Peng mengakui lebih selesa dengan cara tersendiri bagi mencari punca pendapatan dengan bergerak menggunakan kerusi roda menjual barangan kecil dan kantung tisu di ibu negara.
Lee Peng mengakui lebih selesa dengan cara tersendiri bagi mencari punca pendapatan dengan bergerak menggunakan kerusi roda menjual barangan kecil dan kantung tisu di ibu negara.
A
A
A

YAYASAN Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menafikan dakwaan pihaknya mengabai kebajikan bekas perenang para negara, Koh Lee Peng sehingga beliau terpaksa terpaksa menjual barangan kecil dan tisu, di kawasan Bukit Bintang demi kelangsungan hidup.

Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, yayasan itu telah menawarkan pelbagai bentuk bantuan kepada pemenang tujuh pingat emas dan tiga perak di Sukan Para ASEAN (APG) pada tahun 2018, namun sesetengah pertolongan ditolak oleh bekas atlet berusia 50 tahun itu.

"Kita tidak mengabaikan bukan sahaja Lee Peng malah atlet-atlet lain yang di bawah Yakeb, malah kita bantu mereka sebanyak mana yang boleh dibantu. Buktinya hari ini kita berusaha membawa Lee Peng membuat pemeriksaan kesihatan di hospital dan akan terus membantu beliau pada masa akan datang.

"....sebelum ini juga kita pernah bawa Lee Peng jumpa Exco Sukan Pulau Pinang untuk dapat bantuan kios pada 2018, namun ditolak, malah tawaran untuk menjadi jurulatih Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang juga ditolaknya.

"Selepas berhijrah ke Kuala Lumpur pada 2020 dan mula berniaga di Pavilion, beliau juga telah menolak tawaran menjadi jurulatih selain bantuan kios juga ditolak sekali lagi,” katanya selepas membawa Lee Peng mendapat pemeriksaan kesihatan di bawah skim bantuan khas Yakeb di Hospital Thomson Kota Damansara pada Jumaat.

Beliau berkata, antara bantuan yang diterima dan dipersetujui Lee Peng ialah membaik pulih kerusi roda bermotor sebanyak RM500 (2019), sumbangan kewangan sebanyak RM500 sempena sambutan Tahun Baharu Cina (2022) dan sumbangan peralatan mesin jahit untuk perniagaan sebanyak RM3,000 (2022).

Sementara itu, Lee Peng berkata, tawaran jurulatih itu ditolak apabila beliau enggan mengambil risiko melatih atlet para sedangkan beliau sendiri ketika ini tidak mempunyai daya kekuatan yang sama sewaktu bergelar atlet para negara.

"Saya ada sebab (tidak mahu jadi jurulatih). Kalau tiba-tiba dia (atlet) tenggelam macam mana. Itu yang saya fikir kerana kekuatan saya lain tak macam dulu (masa jadi atlet). Menjadi jurulatih merupakan satu tanggungjawab besar, bukan senang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memaklumkan lebih selesa dengan cara tersendiri bagi mencari punca pendapatan dengan bergerak menggunakan kerusi roda menjual barangan kecil dan kantung tisu di ibu negara.

Sebelum ini, tular di media sosial dan dilaporkan dalam media bahawa Lee Peng terpaksa menjual barangan kecil dan kantung tisu di kawasan Bukit Bintang demi kelangsungan hidupnya dan kononnya tiada pihak yang membantunya selama ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!