Sistem, laman sesawang PERKESO digodam
SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesahkan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi tersebut diserang penggodam sejak Sabtu lalu.
Bagaimanapun, PERKESO memberi jaminan bahawa ancaman penggodam itu tidak akan merencatkan perkhidmatan mereka terhadap pencarum, majikan dan orang ramai.
“Pelan pengurusan krisis telah diaktifkan dengan kerjasama unit teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) bagi tujuan pemulihan sistem.
“Peringkat awal modus operandi serangan siber itu dikenal pasti bertujuan untuk melumpuhkan segenap infra PERKESO yang digunakan bagi pengoperasian seharian.
“Tetapi kejayaan unit ICT PERKESO mendapatkan semula kawalan sistem akhirnya menyebabkan penggodam menukar taktik dengan cuba melancarkan serangan pembunuhan watak terhadap imej PERKESO,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, mesyuarat yang diadakan oleh PERKESO untuk membincangkan mengenai pengurusan krisis terhadap serangan itu turut diceroboh tanpa disedari.
Pencerobohan itu dilakukan oleh penggodam dari Rupert Group yang menyusup ke dalam panggilan video berkenaan dan menyifatkan sistem keselamatan PERKESO lemah serta mudah untuk diceroboh.
Menurut PERKESO, hasil penelitian awal mengenai kebocoran maklumat yang dipaparkan di laman web tertutup mendapati bahawa kesahihan data yang dicuri oleh penggodam itu amat diragui, tidak lengkap dan luput.
Ujarnya, ia kerana satu kluster data yang dicuri berkenaan tidak pernah dicerap oleh agensi berkenaan sejak ia ditubuhkan pada Oktober 1971.
“Namun, segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terbabit tetap dilaksanakan mengikut tempoh diperuntukkan.
“Serangan siber terhadap PERKESO ini bukan kali pertama, sebaliknya siri pencerobohan sudah berlaku, dengan kali terakhir pada September lalu dan berjaya dibendung,” jelasnya.
Katanya, tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab itu adalah serangan yang menyasarkan kepentingan negara.
Justeru, PERKESO bertindak untuk menyerahkan segala hasil forensik kepada pihak berkuasa demi mengelak situasi sama berulang terhadap agensi lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!