PLUS laksana RFID di 10 plaza tol sistem terbuka

PLUS akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi RFID di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya.
PLUS akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi RFID di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di 10 plaza tol sistem terbuka di lebuh raya kendaliannya bagi kenderaan kelas satu, sebagai antara pilihan mod pembayaran mulai 1 Januari depan.

Plaza tol sistem terbuka (tanpa mengira jarak perjalanan) terlibat ialah di Lebuhraya Utara-Selatan (Jitra dan Kempas), Lebuhraya Butterworth-Kulim (Lunas dan Kubang Semang), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (Mambau dan Lukut), Lebuhraya Laluan Kedua (Linkedua) (Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang) serta Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasinya Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan sistem itu dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol kerana pengguna lebuh raya tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad dan tambah nilai eWallet menjadi lebih mudah kerana dilakukan secara dalam talian.

"Selain itu ia dapat mengurangkan isu kad elektronik tidak cukup baki, mengurangkan kejadian peranti SmarTAG hilang atau tidak mempunyai bateri atau diletakkan secara terbalik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mod pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch 'n Go atau SmartTAG masih lagi relevan dan diterima seperti biasa di lebuhraya PLUS, sementara di di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor), sistem itu hanya boleh digunakan untuk Caj Jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

Pada masa yang sama beliau turut menasihatkan pengguna yang sudah mempunyai pelekat RFID Touch 'n Go untuk memastikan baki eWallet mencukupi bagi menikmati perjalanan lancar dan selesa.

RFID Touch 'n Go merupakan pilihan mod pembayaran terkini yang menggunakan pelekat khas bercip RFID yang ditampal pada kenderaan yang dihubungkan dengan Touch 'n Go eWallet bagi memudahkan pengguna untuk menambah nilai tol secara dalam talian tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

Katanya, lebih banyak pilihan pembayaran juga sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta lain-lain eWallet.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu dijangka akan memperluaskan sistem berkenaan di 83 plaza tol sistem tertutup (sistem berdasarkan kelas kenderaan dan jarak perjalanan) di lebuh raya kendaliannya pada 1 April 2020.

Orang ramai boleh mendapatkan pelekat RFID Touch 'n Go di 130 pusat pemasangan sedia ada atau menerusi pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres dan https://www.tngdigital.com.my/rfid. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!