Suresh pengendali baharu skuad kriket negara
PERSATUAN Kriket Malaysia (MCA) melantik bekas kapten kebangsaan, Suresh Navaratnam sebagai ketua jurulatih pasukan lelaki negara yang baharu.
Suresh berkata, beliau berterima kasih atas peluang diberikan MCA bagi membangunkan sukan itu untuk skuad kebangsaan.
“Ketua jurulatih memainkan peranan penting antara pemain dan persatuan. Visi saya ialah memberikan pasukan ganjaran atas kerja keras dan inovasi mereka
“Kriket mempunyai masa depan yang cerah di negara ini, namun kita tidak boleh bergantung pada kejayaan sebelum ini. Benar kita sedang membina asas yang kukuh tetapi masih banyak perkara yang perlu dilakukan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan MCA pada Jumaat.
Suresh yang berpengalaman 21 tahun merupakan seorang daripada pemain terbaik yang pernah dihasilkan oleh negara sebelum menyertai MCA selaku pengurus pentadbiran dan operasi dari 1999 hingga 2002.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai Pengurus Operasi dan Akademi Kriket Kinrara antara 2004 dan 2008 selain berkhidmat sebagai jurulatih sementara negara bermula September 2007 hingga April 2008.
Sementara itu, Presiden MCA Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali berharap hubungan sedia ada yang terjalin antara Suresh dan ramai pemain akan membantu peralihan berkenaan.
Menurut Mohammed Iqbal kepimpinan dalam pasukan kejurulatihan amat penting untuk mencapai kemenangan.
“Tiada tempoh 'bulan madu'. Liga Cabaran Majlis Kriket Kebangsaan (ICC) dijadual pada Februari 2024. Sekarang tiba masanya untuk beliau (Suresh) tampil semula dengan jawatan kepimpinan utama.
“Para pemain adalah penting, prestasi tinggi merupakan faktor yang kompleks. Kriket di peringkat antarabangsa ialah satu permainan berkepentingan tinggi, semakin tinggi ranking sesebuah negara, semakin hebat kejohanan itu,” katanya.
Baru-baru ini MCA memutuskan untuk tidak melanjutkan kontrak bekas jurulatih kriket lelaki negara, Bilal Asad yang tamat pada 30 November.
Pemain kriket kebangsaan dilaporkan kecewa dengan cara berkenaan dan bertindak memulau satu perlawanan dalam kejohanan bagi pemilihan kebangsaan yang diadakan pada hari sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!