Isham terima surat status keahlian dalam masa terdekat - Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil akan menerima surat berkaitan status keahliannya dalam parti itu pada masa terdekat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Dia (Isham) akan terima surat dalam masa terdekat,” kata Ahmad Zahid secara ringkas sebagi menjawab kenyataan Isham yang mengesahkan belum menerima sebarang surat daripada UMNO mengenai status keahliannya yang dilaporkan dipecat daripada parti.
Timbalan Perdana Menteri itu ditemui pemberita selepas majlis pelancaran MyNext TVET dan Pertukaran Dokumen Memorandum Kerjasama (MoC) Transformasi TVET, antara kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani, di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada 6 Disember lepas, bersetuju memecat Isham daripada parti dipercayai susulan kritikannya terhadap parti, yang dilihat bertentangan dengan pendirian UMNO sebelum ini dalam usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan.
Mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa parti itu semakin lemah dan mempunyai ahli bersifat duri dalam daging, Ahmad Zahid berkata, kenyataan Dr Azyraaf Wajdi itu mempunyai kebenarannya.
"Sejak 2018 lagi, kita menyaksikan pelbagai watak dalaman yang menjalankan kerja-kerja seperti tikus membaiki labu,” katanya.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, apa yang sedang dilakukan oleh kepimpinan UMNO pada masa ini, terutamanya Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO ialah menjalankan latihan-latihan berbentuk baharu yang bertujuan bukan sahaja menyerap kembali semangat, tetapi rasa kerja sepasukan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu membidas dakwaan kononnya UMNO tidak mengamalkan sistem demokrasi dalam parti.
"UMNO sentiasa melayani perbedaan pendapat dalam kalangan ahli mahupun pemimpin, namun jangan sampai mengecam parti dari dalam dan merosakkan parti.
"Kita mahu tenaga muda ini yang berada dalam UMNO sama ada (sayap) Puteri atau Pemuda untuk terus menyumbang (kepada parti) dan kita juga telah membuka keahlian melalui permohonan atas talian. Kami tiada masalah untuk peroleh ahli muda dan baharu,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!