Lelaki lemas jatuh kolam ketika cari burung
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki maut akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam kumbahan di Kampung Kubang Ikan, Chendering dekat sini pada petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai jatuh ke dalam kolam ketika mencari burung berhampiran kolam terbabit.
"Semasa kejadian, mangsa yang lalu di tepi kolam itu tergelincir dan kemudian jatuh ke dalam kolam. Mangsa dipercayai jatuh di dasar kolam yang mempunyai kedalaman 5.48 meter dengan anggaran keluasan 12x12 meter persegi.
"Mangsa telah dijumpai oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) jam 5.55 petang pada jarak 3 meter dari lokasi mangsa dipercayai jatuh di dasar kolam terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Rozizah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 petang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama 11 anggota dari BBP Kuala Terengganu melibatkan satu water tander, sebuah triton dan jentera PPDA.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!