KLN sokong PBB segerakan genjatan senjata kemanusiaan

KLN menyokong hasrat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang mahu menangani segera situasi genting di Gaza dengan mengisytiharkan gencatan senjata kemanusiaan. - Gambar hiasan
KLN menyokong hasrat Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang mahu menangani segera situasi genting di Gaza dengan mengisytiharkan gencatan senjata kemanusiaan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) menyokong hasrat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang mahu menangani segera situasi genting di Gaza dengan mengisytiharkan gencatan senjata kemanusiaan.

Menurut KLN, serangan tanpa belas kasihan, pertumpahan darah dan jenayah terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah terutamanya kanak-kanak di Gaza mesti dihentikan.

“Malaysia memuji tindakan tersebut yang membawa perkara itu kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang kini berada dalam mandatnya di bawah Artikel 99 Piagam PBB.

“Kekejaman berterusan di Gaza secara tidak langsung menunjukkan ancaman terhadap pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, UNSC mengadakan mesyuarat bagi membincangkan konflik Gaza dan pihaknya akan melakukan undian untuk meluluskan resolusi desakan gencatan senjata segera dilaksanakan.

Bagaimanapun, keputusan sesi perbincangan masih tidak jelas walaupun jumlah kematian orang awam di wilayah Palestin semakin meningkat dan kehidupan digambarkan sebagai malapetaka.

Tambah KLN, masyarakat antarabangsa terutamanya majlis keselamatan mempunyai tanggungjawab untuk mematahkan serangan rejim Zionis bagi mencegah kekejaman dan menamatkan penderitaan serta kemusnahan fizikal di Gaza.

Ujarnya, kegagalan untuk bertindak secara kolektif dan pantas hanya akan menghakis kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap kredibiliti majlis keselamatan serta sistem pelbagai hala secara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

“Majlis mesti memutuskan sama ada ingin kekal lumpuh akibat kitaran polarisasi politik atau melaksanakan kesedaran moral dan etika dengan mengutamakan perlindungan orang awam yang tidak bersalah.

“Ia termasuk penghormatan dan pematuhan sewajarnya terhadap undang-undang antarabangsa seperti yang diamanatkan oleh Piagam PBB,” jelasnya.

Justeru, KLN menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalah dan berbelah bahagi kerana rakyat Palestin berhak merdeka serta kawasan itu perlu dibebaskan sebagai negara berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu kotanya.