Pertimbangan rayuan eMadani wajar dilakukan segera
HASRAT kerajaan untuk mempertimbangkan rayuan individu yang layak menerima kredit RM100 eMadani wajar dilakukan segera.
Dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini, bantuan berkenaan sekurang-kurangnya dapat membantu rakyat untuk menampung perbelanjaan keperluan.
Walaupun jumlahnya dilihat kecil bagi sesetengah pihak, namun bantuan itu sangat bermakna kepada golongan berpendapatan rendah terutama mereka dalam kumpulan B40, ibu tunggal dan warga emas.
Mungkin ketika ini ada keluarga yang benar-benar memerlukan wang untuk membeli barang keperluan makan bagi meneruskan kehidupan seharian tetapi permohonan mereka tidak lulus.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya sedang menimbang rayuan inidvidu yang ditolak dan keutamaan diberi kepada pemohon yang layak termasuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Ujar beliau, insentif tersebut sepatutnya memanfaatkan seramai 8.7 juta penerima, namun kini sebahagian daripada jumlah itu tidak mendapat bantuan berkenaan.
Menurut beliau, pihak kementerian mendengar setiap keluhan rakyat yang mendakwa sukar untuk memohon eMadani dan pengumuman rayuan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, orang ramai yang sudah menerima bantuan tersebut diingatkan supaya berhati-hati dengan tawaran perkhidmatan di media sosial terutamanya berkaitan penebusan kredit eMadani kepada wang tunai.
Program eMadani yang boleh ditebus bermula Isnin lepas dijangka dimanfaatkan 10 juta rakyat meliputi golongan B40 dan M40 yang akan menerima kredit e-tunai sebanyak RM100.
Antara syarat kelayakan untuk memohon bantuan kredit eMadani itu ialah warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas pada 1 Januari 2023 dan penerima STR berdasarkan rekod pada 7 November 2023 atau mempunyai pendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) setakat 15 Julai 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!