Majikan disaran laksana kursus pengurusan stres di tempat kerja

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Majikan disaran mengambil inisiatif berkaitan pengurusan stres di tempat kerja bagi memastikan emosi pekerja lebih terjaga.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia susulan laporan mengenai segelintir pengguna jalan raya yang mudah beremosi semasa kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak sehingga menimbulkan pergaduhan dengan pemandu lain.

"Kesesakan ini kita tidak boleh elak kerana mana-mana tempat mengalaminya bukan sahaja di Kuala Lumpur, malah di negeri lain juga.

"Sekarang pergi kerja sesak, balik pun sama saja, belum campur tekanan semasa di tempat kerja lagi.

"Mereka mudah beremosi dan kadang-kadang lepaskan amarah dekat orang yang tidak bersalah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Lee Lam Thye.
Lee Lam Thye.

Oleh demikian, Lam Thye berkata, inisiatif berkaitan pengurusan stres di tempat kerja sangat penting.

"Majikan wajar jemput pakar psikologi atau kaunselor untuk beri ceramah dan tip kepada pekerja supaya kesihatan mental mereka juga tidak terganggu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, mahkamah mendapati seorang bekas pekerja bidang IT, Yew Wei Liang, 45, bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, kesesakan lalu lintas yang teruk terutama selepas penat bekerja merupakan antara sebab rakyat Malaysia semakin hilang sifat sabar.

Tambah Lam Thye, mendengar muzik yang digemari semasa memandu merupakan salah satu kaedah untuk mengurangkan tekanan.

"Lagu merupakan satu terapi dan kadang-kadang boleh buat kita lebih tenang kerana tidak terlalu terbawa-bawa dengan emosi.

"Negara juga sudah ada peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan, jadi kita tidak boleh harapkan pihak polis menjaga trafik sepanjang masa sebaliknya diri sendiri perlu usaha kawal emosi demi kesejahteraan bersama," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!