'Kita patut salahkan diri kita'
MALAYSIA akur gagal meraih tiket suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 selepas mengalami kekalahan 2-5 kepada Australia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat.
Kekalahan itu menyaksikan skuad The Young Tigers kekal menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan mengutip tiga mata, sekali gus gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Sebaliknya, Australia mengiringi juara Kumpulan A, Argentina untuk lolos ke kelompok lapan terbaik apabila berada di tangga kedua dengan merekodkan enam mata.
“Kita tak salahkan sesiapa atas kekalahan hari ini (Jumaat). Kita ambil tanggungjawab dan kekalahan dengan (hati) terbuka tetapi ini juga proses yang perlu dilalui pasukan.
“Kita terkeluar daripada suku akhir. Misi kita seterusnya menamatkan saingan di tangga kesembilan dalam kejohanan ini,” kata pengendali Malaysia, Muhammad Amin Rahim pada sidang akhbar selepas perlawanan.
Turun dengan misi ‘hidup mati’ berdepan Australia bagi memburu tiket suku akhir, Malaysia ternyata gagal menyaingi corak permainan pantas lawan mereka itu sepanjang 60 minit perlawanan berlangsung.
Dalam aksi suku pertama, gawang Young Tigers dibolosi tiga kali apabila Australia memperoleh gol menerusi Cooper Burns seawal minit kedua, Jake Lambeth (6) dan Cambell Geddes (15).
Tersentak dengan tiga gol Australia, Malaysia bangkit dalam aksi suku kedua sebelum memperoleh jaringan sulung menerusi gol padang Harris Osman pada minit ke-21.
Begitu pun, Australia kembali menekan anak-anak buah Muhammad Amin apabila menambah gol keempat hasil jaringan Lambeth pada minit ke-27.
Shafiq Ikhmal Daniel kembali menceriakan penyokong Malaysia apabila menyumbat gol kedua Young Tigers pada minit ke-44 sebelum Australia menokok gol kelima menerusi Geddes seminit kemudian.
“Dua minit pertama, mereka (Australia) sudah menjaringkan gol. Keputusan 3-0 pada suku pertama membuatkan pasukan secara moralnya agak menurun.
“Namun, kita tak boleh salahkan sesiapa. Kita patut salahkan diri kita kerana kita sendiri buat kesilapan itu (dengan) membenarkan Australia masuk dan menjaringkan gol.
“Sebagai pasukan dan individu, pemain perlu mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap minit di atas padang melakukan perkara yang betul,” jelas Muhammad Amin.
Malaysia akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi kesembilan/16 menentang pasukan di tangga tercorot Kumpulan B, Mesir pada Isnin ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!