Keluarga Zayn Rayyan takut buka media sosial
PETALING JAYA - Keluarga Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, mendedahkan takut untuk membuka sebarang aplikasi media sosial sehingga kini kerana bimbang perasaan terus tergores.
Datuk kanak-kanak terbabit, Zahari Mohd Reba, 55, berkata, dia tidak melayari laman sosial miliknya sejak cucunya itu dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia sehingga hari ini.
"Jika buka dan saya kalau tengok (kecaman di laman media sosial) ia akan menggores perasaan saya dan keluarga, jadi lebih baik saya tidak tengok kerana akhirnya ia akan beri kesan yang mendalam.
"Biasalah setiap perkara berlaku (di media sosial) ada komen baik dan tidak baik, saya tidak mengambil berat hal ini kerana kebanyakannya ia bertujuan untuk disensasikan," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, datuk kepada kanak-kanak autisme berusia enam tahun itu juga menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menjalankan siasatan kes berkenaan.
Zahari yang cukup rapat dengan Allahyarham berkata, dia enggan mengulas lanjut mengenai tragedi menimpa cucunya sehingga siasatan polis selesai dijalankan.
“Saya tidak berniat mahu bercakap mengenai kejadian tersebut, cuma harap orang yang terlibat dihadap ke mahkamah agar arwah cucu saya mendapat pembelaan sewajarnya," tambahnya.
Terdahulu, orang ramai khususnya pengguna media sosial diminta tidak mengeluarkan sebarang komen berkait dengan pembunuhan kanak-kanak autisme itu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan media berkata, pihaknya mengesan beberapa komen atau posting dalam laman sosial mengenai kematian kanak-kanak itu.
Menurutnya, komen-komen seperti ini bukan sahaja mencetuskan kegusaran kepada orang ramai tetapi juga akan mengganggu emosi keluarga mangsa yang masih meratapi kesedihan kerana kehilangan anak disayangi mereka.
Hussein turut meminta kerjasama orang ramai agar memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan siasatan, melengkapkan kertas siasatan dan mengesan suspek.
Pada Rabu, Mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan mengiring di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya.
Polis mendapati kematian kanak-kanak enam tahun itu dibunuh selepas terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!