Pekerja lebuh raya maut dilanggar treler
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 1.45 pagi itu mengakibatkan mangsa, K Krishnan Kutty, 51, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Hasil siasatan awal mendapati treler berkenaan dari Johor Bahru ke arah Kuala Lumpur. Sampai di tempat kejadian treler tersebut telah terlanggar mangsa yang sedang bekerja di tempat kejadian.
"Mangsa didapati berjalan di luar garisan lorong kecemasan iaitu di lorong kiri jalan serta di luar kon semasa membuat kerja pemasangan kon untuk kerja-kerja pembaikan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, selepas melanggar mangsa treler terus bergerak meninggalkan tempat kejadian tanpa berhenti.
Katanya, terdapat saksi yang melihat kejadian berlaku iaitu rakan kerja mangsa namun tidak dapat mengenal pasti jenis dan nombor pendaftaran treler berkenaan kerana kawasan kejadian gelap tanpa lampu jalan.
Tambah beliau, kes berkenaan diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!