Ribuan pesalah trafik serbu kaunter bayar saman PDRM

Orang ramai membuat bayaran di kaunter pembayaran saman PDRM.
Orang ramai membuat bayaran di kaunter pembayaran saman PDRM.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaunter pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sempena program Setahun Bersama Kerajaan Madani diserbu ribuan pengunjung dan pesalah trafik pada hari pertama dibuka.

Menurut jurucakap Polis Diraja Malaysia (PDRM), sehingga petang Jumaat dianggarkan hampir 7,000 orang hadir ke kaunter berkenaan untuk melunaskan pembayaran saman apabila ditawarkan diskaun sehingga 50 peratus.

Kaunter pembayaran saman PDRM di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sempena program Setahun Bersama Kerajaan Madani diserbu pengunjung.
Kaunter pembayaran saman PDRM di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sempena program Setahun Bersama Kerajaan Madani diserbu pengunjung.

"Kaunter dibuka bermula Jumaat sehingga Ahad dari jam 9 pagi sehingga 6 petang. Diskaun 50 peratus itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi tahun 2023 yang melibatkan saman kemalangan, kes mahkamah yang berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun," katanya kepada Sinar Harian.

Sebanyak 14 kaunter bayaran pembayaran disediakan melibatkan lima pegawai dan 22 anggota PDRM serta 15 kakitangan awam yang ditugaskan di reruai agensi tersebut.

Sebelum ini Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan awal saman melalui portal dan aplikasi MyBAYAR PDRM sebelum hadir ke kaunter bayaran bagi mengelak kesesakan di lokasi selain melancarkan proses pembayaran.

Sementara itu, penukaran topi keledar lama kepada baharu secara di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mendapat sambutan.

Sebanyak 3,000 unit topi keledar baharu akan diagihkan sehingga Ahad ini dan dihadkan seorang satu unit.

Artikel Berkaitan:

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu kerajaan.

Kaunter yang banyak memudahkan pengunjung untuk mendapatkan khidmat di reruai PDRM.
Kaunter yang banyak memudahkan pengunjung untuk mendapatkan khidmat di reruai PDRM.

Ia bagi meningkatkan kefahaman umum mengenai hala tuju kerajaan selain membina kepercayaan dan keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.

Program tersebut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pemegang taruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyempurnakan majlis penutup program itu pada 10 Disember bersama kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!