Autisme rasa selesa buat benda sama berulang kali - Pakar

Kanak-kanak penghidap autisme pada kebiasaannya mempunyai tingkah laku lazim dengan kecenderungan melakukan sesuatu perbuatan seperti menjentik, memukul kepala atau bertutur perkataan sama secara berulang kali. Gambar kecil: Mariani - Foto Bernama
Kanak-kanak penghidap autisme pada kebiasaannya mempunyai tingkah laku lazim dengan kecenderungan melakukan sesuatu perbuatan seperti menjentik, memukul kepala atau bertutur perkataan sama secara berulang kali. Gambar kecil: Mariani - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak penghidap autisme pada kebiasaannya mempunyai tingkah laku lazim dengan kecenderungan melakukan sesuatu perbuatan seperti menjentik, memukul kepala atau bertutur perkataan sama secara berulang kali.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor berkata, gangguan yang dikenali sebagai ‘Autism Spectrum Disorder’ mempengaruhi kemampuan anak istimewa itu dari segi kemahiran berkomunikasi, gaya pembawaan karakter dan interaksi dengan keluarga serta rakan sebaya.

Menurutnya, penghidap autisme juga mengalami gangguan bercakap walaupun hanya perkataan asas, gemar berada dalam dunia sendiri dan sukar memahami perasaan orang lain selain tidak suka menggunakan isyarat mata.

“Perkembangan mereka boleh dikenal pasti seawal usia satu hingga tiga tahun, bila membesar dia akan ikut perkembangan masing-masing, berapa patah perkataan boleh cakap, cara bersosial dengan kawan-kawan dan sebagainya.

“Kalau keupayaannya tak sepadan dengan umur, kanak-kanak ini perlu dibawa jumpa pakar pediatrik untuk buat pemeriksaan awal apakah yang berlaku terhadap keadaan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mariani turut memaklumkan, autisme yang merupakan penyakit sepanjang hayat dilabelkan kepada tiga tahap iaitu rendah, sederhana dan tinggi dengan pengkelasan berbeza merangkumi struktur perkembangan saraf atau neuron kanak-kanak.

Tambah beliau, tidak dinafikan bahawa golongan istimewa sensitif atau takut dengan bunyi bingit seperti mesin rumput, loceng atau terdengar suara jeritan kuat, namun ada juga yang memberi respons sebaliknya.

"Penghidap autisme sulit untuk mengubah atau keluar daripada rutin kebiasaannya berikutan terlalu selesa dengan perkara sama yang dilakukan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

“Emosi mereka pun tak menentu, kadang-kadang tak stabil, suka bertindak melulu, susah nak fokus. Jadi, berlaku ketaknormalan jika dibandingkan kanak-kanak seusia yang normal.

“Selain itu, katakanlah apabila penghidap autisme ditegur atau dimarahi ibu bapa yang suruh berhenti menangis, mereka tak faham kenapa kena marah sebab otak tak dapat tafsir maklumat, maka terjadilah tantrum iaitu mengamuk tanpa sebab,” ujarnya.

Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa atau keluarga yang mempunyai anak syurga itu supaya melakukan pemeriksaan awal bagi mengesan tingkah laku dan pertumbuhan kanak-kanak serta mengatur pelan intervensi terbaik seperti menghantarnya ke terapi atau sekolah aliran khas.

“Saya rasa jika tindakan ini dibuat, anak-anak yang dipantau secara kerap oleh ibu bapa dan guru mampu untuk berfungsi walaupun dengan caranya tersendiri,” jelas Mariani lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!