Bapa kongsi kisah anak autisme pernah hilang tiga jam

Omar bersama Isteri dan anak-anak termasuk Muhammad (kiri).
Omar bersama Isteri dan anak-anak termasuk Muhammad (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Pengalaman berdepan kehilangan anak autisme selama tiga jam ketika berada di luar, menjadi pengajaran buat seorang bapa agar sentiasa menjaga emosi anak lelakinya yang kini berusia 7 tahun.

Pemilik perniagaan, Omar Mohamed Azmi, 37, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira dua tahun lalu namun ketika itu anaknya, Muhammad Mafateh Al Ulum belum dikesan menghidap autisme.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu hanya dikesan menghidap autisme pada tahun ini ketika mahu didaftarkan ke sekolah.

"Kejadian dia hilang ketika itu di tempat makan, dia mahu makanan manis tapi saya tak beri. Kemudian dia merajuk dan lari. Dalam keadaan orang ramai saya dan isteri tak dapat jumpa dia.

"Tiga jam dia tak dapat dikesan. Ibunya sudah menangis-nangis. Tapi akhirnya dia ditemui dan ada orang yang datang hantar. Sebelum itu dia pernah beberapa kali hilang tapi kejadian itu yang paling lama.

"Ketika itu kami tak tahu dia autisme. Kanak-kanak autisme ini kalau dia sedang emosi dia suka asingkan diri daripada orang lain," katanya kepada Sinar Harian.

Omar berkongsi gambar ketika keadaan di sekolah apabila anaknya Muhammad tidak mahu masuk ke kelas.
Omar berkongsi gambar ketika keadaan di sekolah apabila anaknya Muhammad tidak mahu masuk ke kelas.

Omar menambah, setelah melihat perkembangannya anaknya yang sedikit berbeza daripada kanak-kanak lain, dia membuat keputusan untuk mendapatkan nasihat pakar dan akhirnya dikesan menghidap autisme.

Artikel Berkaitan:

"Dia masih sukar mengenal huruf dan nombor. Percakapannya juga tidak tersusun membuatkan kami bimbang bagaimana dia nak urus diri ketika di sekolah nanti. Sebab itu kami ambil keputusan untuk rujuk pakar.

"Karektor anak autisme ini berbeza-beza. Tapi bagi Muhammad, tingkah lakunya masih terkawal.

"Tapi, emosinya sering tak stabil. Dia boleh tiba-tiba marah, tiba-tiba ketawa seorang diri. Jadi, sebagai ibu bapa perlu sentiasa pastikan emosinya dalam keadaan baik," katanya.

Bagaimanapun Omar berkata, dia bersyukur kerana Muhammad mudah dijaga dan boleh mengurus diri sendiri namun masih perlu dipantau.

"Walaupun dia boleh urus mandi sendiri, dan bermain di luar bersama kanak-kanak lain, kami tetap pantau.

"Cabaran apabila anak-anak lain yang masih tidak faham, persoalkan kenapa kami beri perhatian lebih kepada Muhammad," katanya.

@sinarharianonline Bapa kongsi kisah anak autisme pernah hilang tiga jam. #SinarHarian#SinarTerkini#beritaditiktok#fyp Breaking News Background Music (Basic A)(1001538) - LEOPARD

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!