Tipu jadi mangsa banjir, ICU JPM serah PKOB siasat
KOTA BHARU - Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) negeri Kelantan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) untuk menyiasat dakwaan berkaitan penipuan penerimaan bantuan banjir di negeri ini.
Pengarahnya, Jasri Kasim bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berkaitan perkara itu dan berharap siasatan dapat dilakukan dengan adil.
Beliau berpendapat mungkin mangsa banjir menempuh banyak kesukaran sepanjang tempoh berdepan hujan lebat dan kenaikan paras air.
"Insya-ALLAH bantuan akan diberikan kepada mereka yang benar-benar berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dan perkara ini akan disahkan oleh PKOB," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah e-Kasih@ Kota Lama di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.
Untuk rekod, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) mengetuai PKOB seluruh negeri manakala daerah pula diuruskan pegawai daerah.
Media sebelum ini melaporkan ada penduduk didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke PPS semata-mata untuk mendapatkan bantuan banjir sedangkan kediaman mereka setakat dinaiki air cetek.
Ada juga dakwaan ketua keluarga memanggil anak mereka yang berada di luar daerah lokasi banjir supaya pulang ke kampung dan berpindah ke PPS.
Dalam perkembangan lain, Jasri turut memaklumkan ICU akan menerima senarai 8,268 nama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Isnin ini.
Menurutnya, satu jawatankuasa itu mempunyai 13 individu yang dijangka bertugas tahun hadapan.
"Setiap komuniti akan memilih jawatankuasa yang dipersetujui mereka dan kita akan terima kesemua nama itu Isnin ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!