Pejabat Meteorologi Bergerak papar perkembangan terkini cuaca
KUALA LUMPUR - Pejabat Meteorologi Bergerak milik Jabatan Meteorologi Malaysia yang ditempatkan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani memberi peluang kepada pengunjung melihat perkembangan terkini keadaan cuaca di seluruh negara.
Ketua Komunikasi Korporat MetMalaysia, Suzalina Kamaruddin berkata, pejabat bergerak tersebut jarang digerakkan kecuali atas faktor tertentu termasuk atas dasar keperluan.
“Pejabat Meteorologi Bergerak ini lebih kepada fungsi untuk memberi pendedahan sebenar kepada masyarakat mengenai perkembangan semasa cuaca di seluruh negara yang dibuat oleh pihak kami.
“Malah, pengunjung yang datang juga dapat melihat ramalan cuaca di sini (Stadium Bukit Jalil) dan dalam masa sama memperoleh maklumat bagaimana data-data dikumpulkan oleh pihak kami dalam membuat ramalan kaji cuaca.
“Selain itu, turut menjadi harapan kita supaya masyarakat lebih peka dengan fungsi dan peranan yang dimainkan MetMalaysia dalam membuat ramalan kaji cuaca bagi membolehkan orang ramai lebih bersedia dalam menghadapi kemungkinan cuaca,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Tambah Suzalina, melalui pejabat bergerak itu juga, pengunjung dapat melihat secara langsung perkembangan terkini ramalan cuaca seperti mana maklumat yang terdapat di ibu pejabat agensi tersebut.
Dalam pada itu, beliau dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan cuaca melalui pelbagai platform media sosial MetMalaysia.
Ia berikutan Malaysia ketika ini sedang berdepan dengan musim Monsun Timur Laut (MTL) dengan beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur ketika ini turut berdepan dengan musim banjir.
“Kita sebolehnya berharap orang awam sentiasa waspada dengan keadaan cuaca semasa dan kita juga sememangnya turut berkongsi apabila mendapat maklumat akan berlaku perubahan cuaca signifikan di sesuatu tempat.
“Jadi, terus ikuti perkembangan terkini di pelbagai saluran MetMalaysia agar kita lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa akan datang,” katanya.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan maklumat yang tidak tepat mengenai perkembangan cuaca yang disebarkan melalui media sosial supaya tidak menimbulkan sebarang kegusaran awam.
Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih mengenali sebarang perkembangan cuaca melalui media sosial rasmi milik agensi tersebut.
Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung tiga hari bermula Jumaat diadakan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu setiap kementerian kepada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!